Search This Blog

Tuesday, December 21, 2010

Ugut bunuh bekas isteri, kontraktor dipenjara lima hari



MELAKA 20 Dis. - Demi mempertahankan isteri baharunya, seorang kontraktor terpaksa meringkuk di penjara selama lima hari dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengugut untuk membunuh bekas isterinya.
Segalanya bermula pada Julai lalu apabila bekas isteri lelaki itu bergaduh dengan isterinya sehingga berlaku pergelutan antara kedua-dua wanita itu di lorong belakang Plaza Pandan Malim, berhampiran Politeknik Kota Melaka.
Lelaki tersebut yang turut berada di tempat kejadian kemudian telah memarahi bekas isterinya lalu tercetus pula pertengkaran antaranya dengan wanita berkenaan sehingga tertuduh mengeluarkan kata-kata ugutan itu.
Pada prosiding di mahkamah hari ini, Majistret Mohd. Fairuz Johari menjatuhkan hukuman penjara dan denda tersebut selepas Harun Zainal, 37, mengaku mengeluarkan kata-kata ugutan itu terhadap Jamilah Nikmat, 43.
Kontraktor itu juga boleh dihukum penjara tiga bulan lagi jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Harun didakwa menakutkan secara jenayah yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah terhadap Jamilah dengan mengeluarkan perkataan 'aku mahu bunuh kau' pada pukul 5.30 petang, 2 Julai lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam bela, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana anak guamnya bukan sahaja menanggung bekas isterinya, malah isterinya sekarang turut mengandung tujuh bulan.
"Tertuduh juga telah memohon maaf kepada mangsa dan mangsa telah memaafkan kesalahan itu,'' katanya.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi yang mengendalikan pendakwaan pula memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Tertuduh yang ditangkap pada 16 Disember lalu, membayar denda tersebut.

No comments:

Post a Comment