Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Tiga penculik kempunan


SEBUAH kereta Toyota Avanza yang dinaiki dua suspek kes culik terbabas ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis di kawasan Rawang berhampiran Tesco awal pagi semalam. - Ihsan CHINA PRESS
TIGA suspek ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes culik di Selayang Baru di Rawang awal pagi semalam. - Ihsan CHINA PRESS


KUALA LUMPUR 4 Dis. - Tiga penculik termasuk seorang wanita tidak sempat menikmati wang habuan hasil kegiatan jenayah mereka apabila diberkas polis dalam tempoh 20 minit selepas membebaskan seorang pelajar kolej swasta yang diculik.
Suspek menculik pelajar perempuan berusia 22 tahun terbabit di hadapan rumahnya di Jalan 8A, Selayang Baru dekat sini pada pukul 5.45 pagi, Rabu lalu.
Mangsa bagaimanapun dibebaskan di kawasan Bukit Bintang di sini pagi ini, setelah keluarganya menyerahkan wang tebusan RM30,000 kepada penjenayah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis menerima laporan daripada keluarga pelajar terbabit memaklumkan mangsa telah diculik oleh dua lelaki menaiki sebuah kereta di hadapan rumah mereka pada Rabu lalu, ketika sedang menunggu sepupunya untuk pergi ke kolej terletak di Petaling Jaya.
Beliau berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya kemudian melancarkan satu operasi khas dinamakan Ops Scorpion untuk mengesan suspek dan menyelamatkan mangsa.
"Anggota pasukan khas terbabit akhirnya berjaya mengesan suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita di Bukit Bintang ketika membebaskan mangsa pada pukul 2.45 pagi ini.
"Kesempatan itu digunakan oleh polis untuk mengekori suspek namun penjenayah yang masing-masing menaiki sebuah motosikal dan kereta jenis Toyota Avanza bertindak memecut laju kenderaan ke arah Rawang sebaik menyedari mereka diekori," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, polis bagaimanapun berjaya memberkas seorang suspek yang menaiki motosikal di lampu isyarat berhampiran pasar raya Tesco Rawang pada pukul 3.03 pagi.
Beliau berkata, dua lagi suspek iaitu sepasang kekasih yang melarikan diri menaiki Toyota Avanza ditangkap kira-kira 500 meter dari situ.
Katanya, kedua-dua mereka hanya berjaya diberkas setelah kereta yang dipandu laju hilang kawalan dan terbalik di atas jalan.
"Polis yang memeriksa kereta Toyota Avanza terbabit menemui semula wang RM30,000 yang dibayar kepada suspek sebelum itu.
"Ketiga-tiga suspek yang tidak cedera kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 3, Akta Culik 1961," katanya.
Abdul Rahim memberitahu, siasatan mendapati suspek menaiki motosikal berusia 48 tahun berasal dari Taman Jati, Batu 17, Rawang merupakan pekerja kilang di Taman Rawang Perdana.
Beliau berkata, seorang lagi suspek lelaki yang memandu Toyota Avanza berusia 22 tahun dari Selayang Baru bekerja di sebuah syarikat guaman di ibu negara, manakala teman wanitanya berusia 22 tahun yang tinggal di Taman Rawang Perdana merupakan penganggur.
Tambahnya, polis masih menyiasat lanjut kes penculikan tersebut termasuk dakwaan bahawa suspek terdesak menculik mangsa kerana memerlukan wang untuk membayar ah long.
"Kita juga sudah menghantar mangsa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan dia tidak mengalami sebarang kecederaan memandangkan dia dalam keadaan lemah semasa dibebaskan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment