Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Tiga maut kereta rempuh treler


SEREMBAN 4 Dis. - Seorang pemandu serta dua penumpang sebuah kereta rentung apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbakar selepas merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 241 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah ke utara dekat Rembau hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, hanya seorang mangsa berjaya dikenal pasti iaituMohd. Azrul Syafiq Mohd. Affendi, 23, manakala mayat dua lagi gagal dicam.
Difahamkan, kesemua mangsa rentung selepas terperangkap dalam kenderaan yang terbakar itu.
Jurucakap polis, Mohd. Azrul Syafiq berasal dari Kampung Solok Jeram Rumbia, Melaka.
Katanya, kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mangsa melanggar belakang treler berkenaan yang sedang bergerak di lorong perlahan lebuh raya tersebut.
''Hasil siasatan awal, kita percaya kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh belakang treler berkenaan yang ketika itu membawa sebuah jentolak. Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta berkenaan terbakar," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini hari ini.
Jelasnya lagi, pemandu treler yang berusia 40-an itu menyedari tentang kejadian tersebut selepas memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian.
''Laporan awal mengatakan ketiga-tiga mangsa sedang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke utara manakala pemandu treler berkenaan pula sedang dalam perjalanan dari Johor menuju ke Selangor," ujarnya.
Berikutan kejadian itu jelasnya, beberapa jentera bomba dikejarkan ke tempat kemalangan bagi membantu memadamkan kebakaran serta mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
''Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan bagi mengenal pasti puncanya. Kita minta saksi supaya tampil memberi keterangan. Kesemua mayat mangsa dibawa ke HTJ Seremban dibedah siasat,'' katanya.

No comments:

Post a Comment