Search This Blog

Thursday, December 23, 2010

Tidak mengaku bersalah



KUALA TERENGGANU - Pasangan suami isteri dari Cherating, Pahang tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan atas lapan pertuduhan memiliki dan mengedar dadah termasuk satu daripadanya pertuduhan secara bersama di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Abdul Harris Fadillah, 47, dan isterinya, yang juga warga Britain, Shivaun Patra Orton, 41, berdepan pertuduhan bersama memiliki lima batang tumbuhan jenis Cannabis (ganja) yang ditanam di dalam bekas di dalam rumah di atas tanah yang mereka duduki di Jalan Kubang Kurus, Taman Muhibbah, Chukai, Kemaman.

Bagi pertuduhan itu, pasangan terbabit didakwa melakukan kesalahan pada 12 Disember lalu mengikut Seksyen 6B (1) (b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan tidak lebih enam sebatan mengikut Seksyen 6B (3) akta sama.

Dalam pendakwaan yang dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang di hadapan Hakim, M Bakri Abd Majid itu, pasangan berkenaan turut berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan memiliki dadah jenis heroin mengikut Seksyen 39B (1) (a) ADB.

Abdul Harris dituduh memiliki heroin seberat 193.2 gram (g), manakala Shivaun memiliki 20g dadah jenis sama.

Bagi dua pertuduhan lain, Abdul Harris didakwa memiliki heroin seberat 11.9g mengikut Seksyen 12 (2) ADB dan boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan mengikut Seksyen 39A (21) akta sama.

Dia juga dituduh memiliki 5.4g Methamphetamine dan boleh dihukum sebat antara tiga hingga sembilan kali atau penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.

Manakala isterinya pula berdepan tiga lagi pertuduhan iaitu memiliki 4.8g Methamphetamine mengikut Seksyen 12 (2); 12.2g Methamphetamine mengikut Seksyen 39A (1) dan 7.8g dadah jenis ganja mengikut Seksyen 6 ADB.

Kedua-dua tertuduh yang berpakaian lokap warna oren dan tidak diwakili peguam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris oleh jurubahasa mahkamah.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan wang jaminan dan memohon tarikh sebutan semula kerana sedang menunggu laporan kimia daripada Jabatan Kimia.

M Bakri kemudian menetapkan 26 Januari 2011 tarikh sebutan semula.

Terdahulu, Abdul Harris yang diberi peluang oleh hakim untuk mengemukakan rayuan berikutan tiada jaminan ditawarkan memohon mahkamah membenarkan dia dipindahkan ke Penjara Bentong, Pahang dengan alasan lebih dekat dengan keluarga dan anaknya yang tinggal di Kuala Lumpur berbanding Penjara Marang yang menyukarkan keluarganya untuk melawat.

Bagaimanapun, M Bakri tidak membenarkan rayuan itu. Tertuduh lelaki kini ditahan di Penjara Marang, manakala tertuduh wanita dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

No comments:

Post a Comment