Search This Blog

Wednesday, December 29, 2010

Terbakar waktu sarapan



KAMPUNG CHAT - “Ketika kejadian, kami sekeluarga sedang menikmati sarapan pagi sebelum dikejutkan dengan jeritan orang kampung yang ternampak asap dari bahagian dapur rumah bersebelahan,” kata mangsa kebakaran, Mohd Firdaus Zakaria, 33 tahun.

Dalam kejadian awal pagi semalam, rumah tinggalan keluarganya yang berusia hampir 40 tahun itu musnah terbakar.

Menurutnya, kejadian itu turut memusnahkan dua rumah jirannya yang terletak berhampiran.

Mohd Firdaus berkata, ketika kejadian berlaku, kedua-dua jirannya tiada di rumah mereka.
”Saya tinggal bersama nenek, ibu dan isteri dalam satu rumah. Ketika kejadian, kami sedang bersarapan pagi dan bergegas keluar rumah setelah mendengar teriakan dari halaman rumah yang menyatakan rumah terbakar.

”Saya sempat menutup suis utama kerana bimbang berlaku letupan kuat akibat arus elektrik,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Firdaus berkata, struktur rumah yang berdekatan antara satu sama lain menyebabkan api cepat marak hingga mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan dokumen penting.
Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan keluarganya terpaksa menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

“Kejadian itu merupakan ujian paling hebat dan kamisekeluarga menerimanya sebagai ujian Allah,” katanya.

Nampak asap
Saksi awal kejadian, Omar Mat berkata, ketika kejadian, dia melalui kawasan itu untuk pergi ke tempat kerja sebelum terlihat asap tebal dari sebuah rumah yang terbabit dalam kebakaran itu.

”Saya bertindak menghubungi balai bomba berhampiran untuk mendapatkan bantuan. Sementara menunggu bantuan, penduduk kampung bergotong-royong membantu memadamkan kebakaran,” katanya.

Punca air jauh
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Che Ismail@Zulkifli Ngah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira jam 8.20 pagi.
”Ketika sampai di sana, api sedang marak memusnahkan tiga rumah itu dan anggota bomba bertindak mengawal kebakaran dalam masa 11 minit. Api dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 10.36 pagi,” katanya.

Che Ismail berkata, berdasarkan maklumat awal pemilik rumah itu, anggaran kerugian dalam kejadian kebakaran itu mencecah hampir RM550,000.

”Punca kebakaran masih dalam siasatan. Namun berdasarkan sumber diperoleh, kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian belakang rumah tengah.

”Walaupun begitu, anggota bomba mengalami sedikit kesulitan kerana punca air berdekatan terletak kira-kira 400 meter iaitu berhampiran Sekolah Menengah Agama Chat.

Hulur bantuan segera
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Perumahan Negeri, Datuk Ir Mohd Soffi Tan Seri Abdul Razak berkata, sejurus menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung, beliau terus bergegas ke tempat kejadian untuk meninjau keadaan itu.

”Saya difahamkan ketiga-tiga rumah itu dihuni warga emas iaitu Abdullah Ishak, 77; Siti Rahmah Tan, 69 dan Jamilah Salleh, 69. Tetapi, Abdullah dan Siti Rahmah tiada di rumah ketika itu,” katanya.

Mohd Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran dengan menyediakan kelengkapan seperti pakaian dan barangan keperluan harian.

”Selain itu, tabung bencana daerah turut memberikan sumbangan sebanyak RM500 kepada setiap mangsa. Manakala, sebanyak 18 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mukim Benta bersepakat mengumpulkan RM100 setiap JKKK,” katanya.

Mohd Soffi berkata, dalam masa terdekat, beliau akan berikhtiar untuk mendapatkan bantuan sebanyak RM5,000 seorang daripada Kerajaan Negeri.

”Saya juga akan mengusulkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) supaya memberi rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada mangsa sebagai tempat berlindung,” katanya.

No comments:

Post a Comment