Search This Blog

Saturday, December 25, 2010

Tak sempat duduk rumah baru

GEORGETOWN: Hasrat seorang lelaki untuk mendiami rumah baru tidak kesampaian apabila terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Jalan Yeap Chor Yee, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Aung Koh Guan, 58, dari Jelutong dikatakan dalam perjalanan ke tapak projek di Bukit Gambir untuk membuat pemeriksaan.

Kakak mangsa, Aung Swee Hoe, 59, berkata, mendiang adiknya itu bekerja sebagai kontraktor binaan dan akan membuat pemeriksaan di kawasan projek seperti ditugaskan setiap hari.

Menurutnya, adiknya yang masih bujang itu baru membeli sebuah pangsapuri di Lorong Perak tetapi belum sempat berpindah ke rumah barunya itu apabila terbunuh dalam kemalangan.

Katanya, sebelum kejadian, mendiang sempat makan tengah hari bersama ahli keluarganya.

“Berdasarkan maklumat orang awam, motosikal adik saya dilanggar sebuah lori dan diheret sejauh 50 meter dari tempat kejadian sebelum pemandu kenderaan berat itu melarikan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, mangsa mempunyai seorang anak angkat, Danny Ong Soo Yong, 21, yang masih belajar dan mereka berdua begitu rapat.

Bapa kepada Danny, Ong Koh Wah, 52, berkata, mangsa baru mengunjungi rumahnya awal minggu ini dan memintanya untuk menguruskan pembelian rumah barunya itu.

No comments:

Post a Comment