Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

Suspek dipukul hingga mati


TANAH MERAH 14 Dis. - Kurang 48 jam seorang pencuri motosikal maut dibelasah penduduk di Kampung Slow Machang, Pasir Mas, Ahad lalu, seorang lagi suspek dipercayai turut menerima nasib sama awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 1.45 pagi itu, Nor Azman Ubaidullah, 37, dari Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, ditemui tidak bernyawa di Kampung Alor Pasir.
Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, ekoran insiden tersebut, tiga lelaki berusia 18 hingga 47 tahun termasuk dua adik-beradik telah ditahan untuk membantu siasatan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu sambilan cuba mencuri sebuah motosikal Yamaha TZM.
"Ketika sedang menghidupkan motosikal itu kira-kira 150 meter dari rumah yang dicurinya, dia berjaya diberkas penduduk kampung lalu berlaku pergelutan.
"Polis yang tiba kira-kira 10 minit selepas itu telah menghantar mayatnya ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan bagi mengetahui punca kematian," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, kejadian curi itu disedari oleh seorang ahli keluarga di rumah tersebut lalu memaklumkan kepada penghuni yang lain.
"Mereka dan seorang jiran mereka lalu mengejar suspek dan berlaku pergelutan selama lima hingga 10 minit," katanya.
Jelas beliau, suspek yang meninggalkan seorang balu dan empat anak berusia lapan tahun hingga lapan bulan itu memiliki satu kes membabitkan penyalahgunaan dadah.
Katanya, empat peralatan dipercayai untuk mencuri motosikal iaitu spanar; pemutar skru dan dua batang besi yang telah diubah suai ditemui pada suspek.
"Kita membuka dua kertas siasatan iaitu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.
"Tiga lelaki yang ditahan adalah antara individu yang menahan suspek ketika itu dan kita percaya mereka dapat membantu siasatan polis," jelas beliau.
Dalam kejadian Ahad lalu, tiga lelaki ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan setelah dipercayai membelasah sehingga mati seorang pencuri motosikal.
habis

No comments:

Post a Comment