Search This Blog

Friday, December 31, 2010

Suami isteri teruk kena belasah

 

JOHOR BAHRU – Percutian suami isteri bersama tiga cahaya matanya ke Cameron Highlands, Pahang, berakhir dengan tragedi berdarah apabila diserang individu dipercayai merupakan pegawai polis pada 26 Disember lalu.

Kejadian yang berlaku di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) itu berpunca apabila kereta Tan Khoon Hor, 35, dan Lim Chung Keok, 34, menghalang kenderaan individu terbabit sehingga menimbulkan perbalahan.

Pada kejadian itu, Chung Keok bersendirian di dalam kereta, manakala suaminya, Khoon Hor sedang menemani tiga anaknya ke tandas sebelum didatangi seorang lelaki mengatakan bahawa kenderaan mereka sudah menghalang keretanya.

Chung Keok berkata, dia memohon kerjasama daripada individu terbabit supaya bersabar sementara menunggu ketibaan suaminya dari tandas bersama anak-anaknya, namun tidak diendahkan sekali gus menerima kata caci dan maki.

“Ini adalah kali pertama kami bercuti ke Cameron Highlands dan tidak sangka kegembiraan dirasai dalam percutian dua hari satu malam berakhir dengan ‘mimpi ngeri’.

“Segalanya bermula apabila kami berhenti sebentar di R&R Tapah arah selatan dari Cameron Highlands sekitar jam 8.45 malam untuk pergi ke tandas.

“Oleh kerana tiada tempat meletakkan kenderaan pada ketika itu, kami menghentikan kenderaan di tepi jalan.

“Tapi disangka, hadir seorang lelaki memberitahu kenderaannya dihalang oleh kereta kami dan saya memintanya untuk bersabar sementara menunggu suami serta anak-anak.

“Bagaimanapun, individu ini tidak menerima kata-kata saya malah mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur perkauman seumpama saya adalah warga asing,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kelab Media Cina Johor Selatan, Jalan Cermat, di sini, semalam.

Chung Keok berkata, individu terbabit sambil dibantu oleh ayahnya melepaskan tumbukan bertubi-tubi ke arah muka suaminya selepas cuba untuk meminta tidak memulakan pergaduhan kerana mahu beredar segera dari lokasi.

“Enggan keadaan bertambah menjadi lebih teruk, suami saya cuba untuk meminta individu terbabit supaya berhenti daripada mengeluarkan kata-kata kesat seterusnya menolak sedikit jauh dari kereta dengan tujuan memudahkan kami beredar dari lokasi.

“Kesan daripada tindakan berkenaan, individu terbabit sambil dibantu beberapa lelaki lain memukul suami saya sehingga menyebabkan kesakitan pada muka, badan dan kepala selain patah dua batang gigi,” katanya.

Katanya, dia segera berusaha meleraikan pergaduhan antara individu terbabit bersama suaminya sambil meminta tolong daripada orang ramai, namun ditolak sebelum ditumbuk di bahagian muka sehingga patah tujuh batang gigi seterusnya rebah di atas jalan raya.

“Melihat perlakuan kejam individu terbabit ke atas saya, suami segera memasukkan saya ke dalam kereta untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis.

“Sebelum pintu kereta ditutup, individu terbabit sempat menunjukkan kad kuasa pegawai polis kepada suami, namun kami terus beredar dari lokasi kerana tidak mahu keadaan bertambah lebih teruk,” katanya.

Chung Keok berkata, dia sekeluarga terus menuju ke Balai Polis Tapah untuk membuat laporan polis, namun dinasihatkan oleh anggota yang bertugas supaya menuju ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan terlebih dahulu.

“Gusi dan bibir saya terpaksa menerima jahitan kerana pecah akibat ditumbuk oleh individu terbabit.

“Kini saya trauma dengan kejadian yang berlaku malah tidak menyangka anggota polis mampu bertindak kejam memukul orang awam hanya kerana masalah kenderaannya dihalang.
“Sejak daripada hari kejadian, saya mengalami kesulitan untuk makan dan malu untuk berhadapan di khalayak ramai dengan keadaan rupa wajah yang bengkak dipukul selain ketiadaan gigi,” katanya.

Justeru, Chung Keok berharap pihak polis dapat membuat siasatan ke atas pegawai terbabit seterusnya mengenakan tindakan dan hukuman sewajarnya supaya kejadian seumpama itu tidak berulang kepada orang lain.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM) pusat, S K Song berkata, tindakan yang dilakukan oleh individu terbabit adalah ekstrem dan melampau seterusnya perlu dituntut keadilan.

“Saya mahu Ketua Polis Negara membuat siasatan terperinci ke atas individu terbabit yang dipercayai pegawai polis kerana tindakan dilakukan jelas mencemarkan imej pihak berkuasa di mata masyarakat umum.

“Individu terbabit tidak hanya bertindak kasar malah mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman sekali gus tidak mencerminkan semangat 1Malaysia.

“Perkara ini akan diketengahkan supaya pasangan Lim dan Tan mendapat keadilan sewajarnya sekali gus tindakan undang-undang bakal dikenakan ke atas individu terbabit dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu, Song pasti rakyat Malaysia pasti akan berbelah bagi dan kurang yakin terhadap polis sama ada pihak berkuasa bekerja demi keselamatan orang ramai atau bebas untuk melakukan sebarang salah laku yang melanggar undang-undang.

Sementara itu di Perak, Timbalan Ketua Polis Tapah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad berkata, pihaknya ada menerima laporan berkaitan aduan pasangan suami isteri terbabit.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment