Search This Blog

Tuesday, December 21, 2010

Suami isteri guna anak tipu mangsa




SEBAHAGIAN barangan yang berjaya dirampas daripada keluarga yang dipercayai memukau dan memperdayakan mangsanya pada sidang media di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 20 Dis. - Ibu bapa seharusnya menjadi pelindung kepada anak-anak, namun sebaliknya yang dilakukan oleh sepasang suami isteri ini apabila menggunakan anak perempuan mereka berusia lima tahun untuk menipu dan menyamun orang ramai.
Bagaimanapun, kegiatan kedua-dua suspek berusia 44 tahun itu terbongkar apabila mereka bersama anak perempuannya ditahan polis di dalam sebuah kereta di sekitar Jalan Wong Ah Fook di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, modus operandi pasangan itu adalah meminta simpati orang ramai termasuk menggunakan anak perempuannya sebelum menyamun mangsa.
"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa seolah-olah 'dipukau' oleh kedua-dua suspek sebelum barang berharga miliknya dilarikan.
"Setakat ini, kita syak pasangan itu terlibat dalam tujuh kes memperdayakan orang ramai di sekitar bandar raya ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, susulan penahanan pasangan berkenaan, pihaknya merampas tiga utas rantai emas, lima cincin emas, dua subang emas, seutas jam tangan berjenama, dua utas gelang emas, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM2,100 dipercayai milik mangsa.
Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati suspek lelaki memiliki 10 rekod jenayah lampau termasuk kes samun.
Pasangan itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan, manakala anak mereka diserahkan kepada ahli keluarga terdekat, katanya.
Dalam kes berasingan, Mohd. Mokhtar memberitahu, polis menahan dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun kerana disyaki terlibat dalam 27 kes pecah kereta di negeri ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau kerana mencuri itu ditahan dalam kereta Perodua Viva pukul 3.50 petang di Jalan Pantai Lido di sini semalam.
Polis turut menemui sebuah komputer riba dipercayai milik mangsa dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan semasa melakukan jenayah berkenaan termasuk pemutar skru, katanya.

No comments:

Post a Comment