Search This Blog

Thursday, December 23, 2010

Suami isteri bebas tuduhan merompak kamera milik TV3



KUALA LUMPUR -- Sepasang suami isteri pemilik restoran makanan Afrika dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan merompak dua buah kamera milik Stesen TV3, dua tahun lepas.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin membuat keputusan itu terhadap Elizabeth Sumana De Silva, 44, dan suaminya warga Nigeria Adeyemi Rasaq Tunde, 44, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes diakhir pembelaan.

Bagi pertuduhan pertama, Silva dan Adeyemi didakwa bersama-sama lebih kurang 20 orang yang masih bebas, merompak sebuah kamera jenis Panasonic DVX 102B milik TV3 yang berada dalam kawalan jurugambar Fauzi Muin, 33.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu turut didakwa bersama 10 orang yang masih bebas, merompak sebuah kamera jenis Panasonic DVC PRO milik stesen itu yang berada dalam kawalan Nor Azman Jumahat, 36.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Menara Gading 1, Taman Connaught, Cheras, di sini pada 1.10 pagi, 15 Sept 2008.

De Silva, warga Malaysia berketurunan Portugis dan Adeyemi adalah pemilik restoran makanan Afrika di Taman Connaught, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Asyiqin Zulkifli yang mengemukakan seramai tujuh saksi manakala pasangan itu diwakili peguam Christopher Joseph dan Mohd Aris Abu Bakar.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment