Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Sindiket cuba seludup diesel subsidi tumpas


Oleh Kandau Sidi
kandau@bharian.com.my
2010/12/05

10,000 liter minyak ditemui dalam enam tangki 

MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menumpaskan cubaan menyeludup 10,000 liter diesel subsidi yang disorok dalam enam tangki besar di belakang sebuah stesen minyak di Jalan Pujut, di sini semalam.Penolong Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Miri, Jubin Janggong, berkata diesel subsidi bernilai RM18,000 itu yang dipam dari stesen minyak bersebelahan dipercayai untuk dijual kepada pemilik ladang kelapa sawit yang beroperasi di utara Sarawak.
“Kita sedang menyiasat kes ini secara terperinci untuk membendung aktiviti penyelewengan diesel subsidi yang sering berlaku sekarang,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam sambil menambah beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam aktiviti haram itu sudah diambil keterangan. 

Rampasan itu adalah kejayaan kedua KPDNKK dalam tempoh 24 jam selepas sebelum itu menumpaskan satu cubaan penyeludupan diesel subsidi dalam ‘Ops Nano’. Operasi disertai KPDNKK dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu merampas 8,000 liter diesel subsidi bernilai RM10,000 di sebuah jeti di Muara Tebas di Kuching. 

Ia susulan intipan dua bulan oleh pasukan penguat kuasa sebelum menyerbu bot nelayan yang sedang menjalankan aktiviti mengepam minyak dari tangki simpanan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sri Muara ke dalam bot nelayan di jeti. 

Tujuh lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 30 tahun, termasuk tiga kakitangan PNK Sri Muara ditahan kerana dipercayai terbabit dalam penyeludupan itu. Dalam tempoh 11 bulan pertama ini, sebanyak 11 kes penyeludupan diesel subsidi membabitkan 259,240 liter dan bernilai RM845,605 dikesan. 

No comments:

Post a Comment