Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

SPRM tutup fail kes kaitakan Nik Aziz, Ka Siong tapi terus siasat Tajudin Ramli

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup fail tiga kes yang mengaitkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong tetapi masih meneruskan siasatan berhubung kes salah guna kuasa bekas Pengerusi MAS Tan Sri Tajudin Ramli.
Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Tan Sri Hadenan Jalil berkata, panel itu sebulat suara bersetuju SPRM tidak mengambil tindakan lanjut selepas menyiasat kes berkenaan.

"Dalam mesyuarat hari ini kita menerima laporan daripada SPRM untuk menutup kes berkenaan dan kita bersetuju bahawa ketiga-tiga kes melibatkan mereka tiada lanjutan lagi," katanya selepas mesyuarat panel itu bersama SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah di sini hari ini.

Katanya bagi dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Nik Aziz yang melantik menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), siasatan mendapati Nik Aziz sebagai menteri besar mempunyai kuasa penuh melantik pegawai dan kakitangannya seperti yang termaktub dalam enakmen PMBK. "Siasatan terperinci dijalankan oleh SPRM berpendapat bahawa pelantikan Abdul Ariffahmi yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi PMBK kepada Ketua Pegawai Eksekutif PMBK itu adalah lebih kepada pertukaran nama jawatan," katanya.

Beliau berkata siasatan SPRM mendapati wujud kelemahan dalam sistem dan tadbir urus pelantikan pegawai kerajaan negeri yang menyebabkan tatacara pelantikan pegawai boleh disalah guna oleh pihak tertentu.

"Sehubungan itu, PPO meminta SPRM menasihatkan semua kerajaan negeri supaya membuat penambahbaikan dari sudut sistem, prosedur serta peraturan dalam sebarang pelantikan pegawai," katanya.

No comments:

Post a Comment