Search This Blog

Friday, December 17, 2010

Sebutan kes bunuh Sosilawati ditangguh 27 Januari 2011


KUALA LANGAT 16 Dis. - Sebutan kes N. Pathmanabhan dan tiga lagi yang didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting di sini hari ini ditangguhkan sehingga 27 Januari depan.
Ia bagi membolehkan prosiding semakan dan rayuan yang difailkan oleh salah seorang pekerja ladang bekas peguam itu didengar dan diputuskan terlebih dahulu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Prosiding itu dijadualkan didengar pada 10 Januari depan.
Majistret Hurman Hussain membenarkan penangguhan selepas barisan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff mengemukakan permohonan tersebut.
Ishak turut memaklumkan semua laporan berkaitan dengan kes termasuk laporan asid deoksiribonukleik (DNA) telah diperoleh.
Turut hadir pada prosiding itu ialah Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abdul Ghani.
Barisan pembelaan pula terdiri daripada peguam Manjeet Singh Dillon yang mewakili Pathmanabhan, 41, Gurbachan Singh (T. Thilaiyalagan, 19), Amer Hamzah Arshad (R. Matan, 20) dan Ravi Nekoo (R. Kathavarayan, 30).
Mereka turut dibantu peguam, Pushpa Ratnam dan Datuk Ng See Teong.
Pada 15 Oktober lalu, K. Sarawanan, 19, bersama-sama seorang lagi pekerja ladang milik Pathmanabhan, U. Suresh, 26, mengaku bersalah di mahkamah yang sama atas tuduhan membakar mayat Sosilawati dan tiga lagi serta membuang abu kesemua mangsa.
Setiap tertuduh dihukum penjara tujuh tahun.
Bagaimanapun, genap 39 hari selepas membuat pengakuan tersebut, Sarawanan memfailkan notis usul mendakwa pengakuan dibuat secara paksa, terpedaya dan tanpa kerelaan.
Mengikut pertuduhan, bekas mekanik motosikal itu didakwa atas empat pertuduhan membakar mayat Sosilawati, 47, pemandu jutawan itu, Kamarudin Shamsudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 9.45 malam dan 12 tengah malam, 30 Ogos lalu di ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat dekat sini.
Suresh yang tidak mengemukakan sebarang rayuan turut didakwa atas empat pertuduhan melupuskan bukti pembunuhan kejam itu dengan sengaja membuang abu mayat kesemua mangsa ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib, Klang dekat sini antara pukul 8 dan 10 pagi, 31 Ogos lalu.
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Pada prosiding hari ini, Nekoo memaklumkan anak guamnya mengadu dipukul ketika dipenjara.
Hurman berkata, tertuduh boleh membuat laporan polis.
Sejurus selepas prosiding ditangguhkan, barisan pendakwaan dan pembelaan buat pertama kalinya melawat lokasi kejadian pembunuhan ngeri itu.
Turut berada di lokasi kejadian ialah seorang lelaki dalam lingkungan lewat 20-an dipercayai adik kepada Norhisham yang ditemani oleh dua orang rakannya.
Kesemua mereka bagaimanapun meletakkan kenderaan jauh dari lokasi tersebut kerana ingin mengelak pihak media yang berkumpul di depan pagar ladang tersebut.
Terdahulu ketika di Mahkamah Majistret Telok Datok, lelaki terbabit bagaimanapun enggan ditemuramah malah salah seorang rakannya ketika ditemui menafikan mempunyai kaitan dengan kes tersebut sebaliknya menghadiri perbicaraan lain.
Amer Hamzah ketika dihubungi memberitahu, lawatan tersebut bagi melihat sendiri lokasi yang dikatakan tempat pembunuhan kesemua mangsa bagi persediaan membuat pembelaan.
Pasukan pembelaan juga mungkin akan melawat lokasi-lokasi lain yang berkaitan dengan kes itu termasuk tempat bahan bukti ditemui dan dikumpulkan.
Mengenai laporan DNA dan lain-lain laporan yang berkaitan dengan kes itu, Amer Hamzah menyatakan pihaknya masih belum dibekalkan salinan dokumen-dokumen terbabit.

No comments:

Post a Comment