Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

Sarjan terima padah rasuah





KUANTAN- Seorang anggota polis trafik berpangkat Sarjan dihukum penjara 36 bulan dan didenda RM50,000 selepas dia disabitkan bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM1,000 daripada pemilik lori pasir di sini, tahun lalu. 

Tertuduh, Mahir Epandi Ahmad, 48 dari Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang itu turut berdepan hukuman penjara 16 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda RM25,000 yang dihadapinya bagi setiap tuduhan. 

Lebih memeritkan, hukuman diputuskan Hakim Nor Adidah Ahmad itu bakal mengelapkan masa depannya apabila dia juga berkemungkinan dikenakan tindakan tatatertib oleh jabatan dan mungkin terpaksa melupakan kerjayanya sebagai anggota polis yang disertai sejak 31 tahun lalu. 

Hukuman penjara 18 bulan bagi setiap tuduhan dan berjalan secara berasingan itu bagaimanapun ditangguhkan selepas mahkamah membenarkan permohonan tertuduh melalui peguamnya, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima RM500 daripada seorang pemilik lori pasir sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan ke atas lorinya yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kafe sebuah hotel di sini kira-kira jam 5.16 petang, 10 Julai 2009. 

Sementara itu bagi tuduhan kedua dia didakwa menerima wang sogokan RM500 daripada pemilik lori itu bagi tujuan sama kira-kira jam 11.20 pagi, 6 Ogos tahun lalu. 

Berikutan kesalahan itu, tertuduh yang ditahan 19 Januari 2010 dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada 10 Februari 2010 dan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama. 

Jika disabitkan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali nilai suapan. 

Syed Azimal ketika mewakili anak guamnya merayu supaya tertuduh dikenakan hukuman ringan memandangkan dia tiada rekod kesalahan lampau. 

Menurutnya, sepanjang berkhidmat, bapa kepada empat anak berusia 4 bulan hingga 24 tahun itu mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan tidak pernah terlibat dalam kes pelanggaran disiplin. 

“Saya mohon supaya tertuduh dikenakan hukuman penjara dalam tempoh singkat memandangkan dia juga bakal berdepan tindakan tatatertib daripada jabatannya dan berkemungkinan akan kehilangan pekerjaan,” katanya. 

Sementara itu, Nor Adidah dalam hujah ringkasnya bersetuju dengan pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Syed Termizi Syed Musa apabila beliau berpendapat kesalahan tertuduh itu amat serius. 

Menurutnya, kesalahan rasuah sesuatu kesalahan yang serius apatah lagi melibatkan seorang anggota polis . 

Tertuduh kemudiannya dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin sementara permohonan rayuannya disebut di Mahkamah Tinggi.

No comments:

Post a Comment