Search This Blog

Friday, December 31, 2010

Sarang pelacur masih aktif





anggota penguat kuasa DBKL merobohkan sarang maksiat pada operasi bersepadu membanteras aktiviti rumah pelacuran di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Azrul Edham mohd. aminuddin


KUALA LUMPUR 30 Dis. - Walaupun 10 kali diserbu pihak berkuasa malah premis mereka turut dirobohkan, sebahagian sarang pelacuran di Jalan Petaling dan Jalan Silang di sini, dikesan masih terus aktif beroperasi.
Buktinya, sebanyak 10 buah sarang pelacuran di Jalan Petaling dan sebuah lagi di Jalan Silang berjaya dibongkar dalam serbuan polis malam semalam.
Ada di antaranya begitu berani beroperasi hanya selepas sehari premis mereka diserbu dan dirobohkan pihak berkuasa dengan menggunakan khidmat pelacur baru.
Berikutan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah merobohkan premis terbabit dalam operasi bersepadu selama dua jam, bermula pukul 12.30 tengah hari ini.
Operasi itu turut melibatkan Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis.
Menurut Timbalan Penguasa Keselamatan DBKL, Tanda Usoh, operasi berkenaan bertujuan untuk memusnahkan bilik-bilik yang dibina bagi tujuan aktiviti pelacuran.
"Sebanyak 37 bilik dari sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Silang manakala 225 bilik dari 10 premis termasuk yang melibatkan hotel murah di Jalan Petaling diroboh dalam operasi itu.
"Operasi memusnahkan sarang pelacuran itu dilakukan selepas serbuan dibuat polis malam semalam," katanya yang ditemui pemberita di sini hari ini.
Tanda memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujudnya penglibatan 'orang dalam' hingga menyebabkan pihak-pihak terlibat berjaya melarikan diri dalam setiap serbuan.
"Perbuatan itu sukar dibuktikan bagaimanapun pemantauan sentiasa dibuat bagi mengenal pasti pihak terlibat.
"Bagaimanapun aktiviti pelacuran amat sukar dikekang kerana wujud permintaan yang tinggi dalam 'perniagaan' itu. Selagi ada permintaan, selagi itu kegiatan berkenaan sukar dibendung," katanya.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan DBKL mendapati kebanyakan pemilik-pemilik perniagaan pelacuran terbabit didapati berselindung dengan lesen-lesen perniagaan yang lain seperti pusat siber.
"Walaupun pelbagai usaha dibuat termasuk menyita dan memusnahkan bilik-bilik premis berkenaan, masih ada menjalankan kegiatan pelacuran di lokasi sama," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment