Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

Rumah urut haram diserbu





BUKIT TINGGI - Kedudukannya yang strategik dan suasananya agak eksklusif menjadikan sebuah rumah urut di Bukit Tinggi menjadi tumpuan sejak sebulan lalu. 

Namun, tidak ramai yang menyedari rumah urut berkenaan beroperasi tanpa lesen dan menjalankan perniagaan secara haram tanpa menghiraukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguat kuasa yang lain. 

Pengarah Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Andry Arman Masrom berkata, pihaknya menjalankan risikan berjaya memperoleh maklumat mengenai kewujudan rumah urut itu yang kian mendapat perhatian daripada penduduk setempat kerana menawarkan pelbagai pakej menarik kepada pelanggannya 

Menurutnya, satu operasi secara bersepadu telah diadakan dan tindakan sita ke atas premis itu yang beroperasi secara haram tanpa kebenaran majlis telah dikenakan. 

“Semua barangan telah disita dan kita sedang mengusahakan pendakwaan ke atas pemilik premis yang secara jelas melanggar peraturan ditetapkan. 

“Malah, hasil kecekapan maklumat risikan mendapati, beberapa premis juga turut diserbu untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 

Menurutnya, premis berkenaan mempunyai lima pekerja warga China dan hasil pemeriksaan, semua mereka mempunyai permit kerja yang sah. 

Andry berkata, kawasan sekitar Bukit Tinggi sememangnya agak terkenal dengan rumah urut dan setakat ini, hanya premis refleksologi sahaja dibenarkan beroperasi. 

“Operasi dan pemantauan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. 

“Pada masa yang sama, saya mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jika mendapati terdapat mana-mana premis rumah urut yang beroperasi tidak sah,” katanya.

No comments:

Post a Comment