Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

Rakan setugas tak sangka Jenain tembak kereta Aminulrasyid




2010/12/15

SHAH ALAM: Seorang saksi hari ini memberitahu perbicaraan kes kematian Aminulrasyid Amzah di Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau tidak menjangka rakan setugasnya, Koperal Jenain Subi, yang juga tertuduh dalam kes itu, akan melepaskan tembakan ke arah kereta Proton Iswara yang dipandu mangsa pada hari kejadian. 

Konstabel Mohamad Hafizd Mohd Yusof, 27, berkata beliau sebaliknya berniat untuk mengejar Aminulrasyid yang dilihat memandu kereta dalam keadaan agresif dan telah menghimpit kereta peronda yang dipandunya (Mohamad Hafizd).
"Kereta Iswara dipandu dalam keadaan ke kiri, ke kanan dan tidak dapat dikawal semasa tembakan pertama dilepaskan. Selepas tembakan seterusnya dilepaskan, kereta itu masih enggan berhenti walaupun ia masih dipandu dalam keadaan sama (ke kiri dan ke kanan)," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.Mohamad Hafizd yang bertugas di cawangan kereta peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, memberi keterangan pada perbicaraan Jenain, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lalu. 

Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Aminulrasyid meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya. 

Saksi pendakwaan ke-38 itu juga tidak menjangka bahawa seorang lagi anggota peronda polis, Konstabel Mohd Izham Mahayadin, turut melepaskan tembakan pada kereta dinaiki remaja itu semasa mengejarnya di Bulatan Kayangan. 
Ditanya sama ada beliau ada melepaskan tembakan pada hari kejadian, Mohamad Hafizd menjawab "tidak". 

Saksi itu seterusnya berkata, cara pemanduan Aminulrasyid yang agresif dan melulu serta beberapa kali menghimpit kereta peronda polis menggambarkan seolah-olah pemandu kereta itu adalah seorang penjenayah. 

"Saya pernah hadapi situasi seperti ini tetapi selama saya bertugas, kereta yang dikejar semua berhenti dan beri kerjasama, tetapi ini tidak berhenti langsung, malah menghimpit kereta peronda polis. 

"Saya ada sikit rasa 'tidak elok' pada (pemandu) kereta Iswara bila tengok cara pemanduannya yang agresif," katanya. 

Saksi ke-36 pendakwaan, ASP Ahmad Fauzi Mohamed Zin yang juga pegawai penyiasat di peringkat awal kes itu, berkata selain unit forensik, beliau telah meminta unit anjing pengesan untuk ke tempat kejadian selepas dimaklumkan bahawa ada seorang lagi penumpang kereta Iswara telah melarikan diri. 

Beliau berkata, unit anjing pengesan bagaimanapun gagal mengesan penumpang tersebut. 

Ahmad Fauzi seterusnya berkata, pada peringkat awal, pegawai forensik Cif Inspektor Mazli Jusoh @ Che Kob yang menjalankan siasatan di tempat kejadian, memaklumkan kepada beliau bahawa terdapat 22 kesan tembakan dan sekurang-kurangnya 16 das tembakan mengenai kereta Iswara itu. 

"Saya kemudian telah menghantar mayat mangsa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, untuk tujuan bedah siasat. 

"Apabila saya sampai ke pejabat semula kira-kira 6 petang (hari kejadian), saya telah diberitahu bahawa siasatan akan diambil alih oleh ASP Abdul Halim Ismail," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Adilla Ahmad. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar disambung 27 Disember ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment