Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

Rakan setugas ditegur tidak bela Jenain




SHAH ALAM – Seorang anggota peronda ditegur Timbalan Pendakwa Raya supaya bercakap jujur terhadap perbicaraan kes Aminulrasyid Amzah yang mati akibat ditembak polis dalam satu kejadian tembakan di Seksyen 11, April lalu.

Mohd Dusuki Mokhtar menegur Konstabel Mohamad Hafizd Mohd Yusof memandangkan saksi itu sentiasa kelihatan teragak-agak, kadangkala berdiam sejenak dan adakalanya menjawab perlahan terhadap beberapa soalan berkaitan isu tembakan. 

Melihat reaksi itu, Mohd Dusuki meminta supaya Mohamad Hafidz, 27, tidak cuba menyelindungi fakta walaupun membabitkan rakan setugasnya, Koperal Jenain Subi, 48, dalam perbicaraan itu, atas dakwaan menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15. 

Krew itu yang bersama Mohamad Hafidz pada malam kejadian itu, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April lalu. 

Mohamad Hafidz ialah saksi ke-28 perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar di Mahkamah Sesyen di sini, semalam. 

Dalam keterangannya, Mohamad Hafidz berkata, kedudukan kereta mereka dengan kereta Aminulrasyid dalam anggarannya tidak pernah rapat dan sentiasa berada di belakang. 

Menurutnya, selepas mengekori kereta Aminulrasyid hingga ke Jalan Tarian, Jenain melepaskan tembakan di awal simpang itu dengan jarak 45 kaki dari belakang. 

Katanya, Jenain mengeluarkan kepala melalui cermin tingkap kereta peronda polis sambil meletakkan senjata pada bahu yang dihalakan ke bawah semasa melepas lebih 10 das tembakan. 

Menurut Mohamad Hafidz, dia tidak sedar reaksi Jenain ketika itu kerana hanya memandangnya sekali imbas. 

Malah, katanya, dia yang ketika itu sedikit terkejut tidak juga melihat sebarang persediaan awal Jenain untuk melepaskan tembakan itu. 

Sehubungan itu, katanya, dia hanya mendengar bunyi tembakan itu dan tidak pula melihat arah semua peluru. 

Dia mendakwa keadaan kereta Aminulrasyid tidak lagi stabil dan melilau ke kiri serta ke kanan hingga akhirnya terbabas bergesel dengan pokok dan melanggar tembok sebuah rumah. 

Sebelum itu, pada bicara sebelah pagi, Koperal Azhar Hashim yang terbabit mengejar kereta Aminulrasyid berkata, kereta tersebut dipandu secara membabi buta dan boleh mengancam keselamatan awam. 

Bicara bersambung jam 10.30 pagi hari ini untuk saksi disoal balas peguam Jenain, M Athimulan

No comments:

Post a Comment