Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

Punca helikopter terhempas disiasat


15/12/2010 5:54pm

KAMPAR 15 Dis.) — Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dengan kerjasama Integrated Training and Services Sdn. Bhd. (ITTSB) sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca terhempasnya helikopter milik syarikat swasta tersebut di kawasan lombong, Malim Nawar di sini semalam.
Pengarah ITTSB, Leftenan Kolonel (B) Khairudin Dahlan berkata, siasatan yang diketuai pegawai penyiasat, Kapten (B) Md. Jani Md. Dom itu akan meliputi pelbagai aspek termasuk dari segi masalah teknikal mahupun kesilapan manusia.
Satu lagi siasatan berasingan akan dijalankan bagi mencegah nahas sama berulang kerana ia pertama kali melibatkan sebuah daripada tiga helikopter jenis Robinson-44 (R-44) milik syarikat berkenaan.
Khairudin berkata, berdasarkan rekod menara kawalan syarikatnya, helikopter itu mula berlepas pada pukul 2.27 petang dan kali terakhir ia membuat panggilan adalah pada pukul 2.45 petang.
Katanya, petugas di menara kawalan itu mula mengetahui mereka telah terputus hubungan dengan helikopter tersebut pada pukul 3.20 petang setelah mangsa gagal membuat panggilan pada setiap setengah jam mengikut prosedur penerbangan.
“Kita hanya mengetahui helikopter itu terhempas lima minit kemudiannya,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang semalam, seorang pegawai polis, Inspektor Mohd. Shukri Othman, 31, terbunuh apabila helikopter jenis Robinson 44 (R-44) yang dipandunya ketika dalam latihan terhempas dan terbakar di kawasan lombong, Malim Nawar di sini.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang bertugas di Bahagian Latihan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sedang menjalani latihan memandu solo dari sebuah pusat latihan penerbangan swasta di Ipoh. — Bernama

No comments:

Post a Comment