Search This Blog

Tuesday, December 21, 2010

Premis judi guna pintu belakang kafe siber diserbu



SEREMBAN 20 Dis. - Taktik seorang pengusaha kafe siber menggunakan laluan pintu belakang untuk menjalankan kegiatan perjudian Internet nyata gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila premis itu di Taman Pasir Mas, Rantau diserbu polis dalam satu operasi di sini malam tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 9.30 malam, penjaga premis berkenaan tidak menyedari kehadiran sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri walaupun premis berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Operasi D7 negeri, Cif Inspektor Raidah Abiddin berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam.
"Hasil risikan awal, kami mendapati pengusaha terbabit membuka laluan di pintu belakang kepada pelanggan yang ingin bermain judi Internet di premis berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut juga mendapati, pengusaha terbabit memasang CCTV di luar premis berkenaan bagi memudahkan mereka memantau kehadiran pihak berkuasa," katanya di sini hari ini.
Menurutnya lagi, dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai ditugaskan bagi mengendalikan premis tersebut turut ditahan.
"Selain itu, kita bertindak menyita 30 set komputer 4 unit modem dan wang tunai sebanyak RM788," katanya.
Tambah Raidah, ketika serbuan, seramai 25 pelanggan sedang leka bermain judi di dalam premis terbabit.
"Bagaimanapun, kesemua pelanggan yang berusia 25 hingga 40 tahun ini tidak ditahan, namun polis telah mengambil keterangan dan butiran diri mereka.
"Penjaga premis berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk disoal siasat di bawah Seksyen 4 B (a) Akta Rumah Judi Terbuka," jelasnya.

No comments:

Post a Comment