Search This Blog

Friday, December 31, 2010

Polis Selangor tumpas dadah RM72.2 juta sepanjang 2010



SHAH ALAM 30 Dis. - Polis Selangor berjaya menumpaskan aktiviti penagihan dan penyeludupan dadah bernilai RM72.2 juta hasil daripada penguatkuasaan yang dijalankan sepanjang tahun ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, daripada jumlah rampasan tersebut, seramai 21,430 orang ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga November, polis juga menahan 786 orang atas kesalahan mengedar dadah pelbagai jenis di negeri ini.
Katanya, selain rampasan, polis turut menyita harta milik pengedar dadah berjumlah RM8 juta bagi tempoh sama termasuk kereta, wang tunai dan kediaman.
"Angka mereka yang ditahan kerana menagih dan mengedar dadah ini didapati meningkat berbanding tahun lalu iaitu 16,833 orang.
"Bagaimanapun angka itu bukanlah sesuatu yang kita banggakan kerana ia menunjukkan keadaan tidak baik untuk masyarakat di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Tun Hisan, bagi kes 'keldai dadah' pihaknya melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri telah berjaya menahan 128 individu warga asing di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepanjang tahun ini.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, warga Iran merupakan paling ramai ditahan di pintu masuk negara ini iaitu melibatkan 94 kes.
Selain Iran katanya, rakyat negara lain ialah India, Pakistan, Turki, Thailand, Indonesia, Bulgaria, Zimbabwe, Bulgaria, Nigeria, Uzbekistan, Togo Laise dan Papua New Guinea.
Jelasnya, kebanyakan yang ditahan didapati cuba menyeludup masuk dadah termasuk syabu, ketamin dan kokain.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa setakat ini, 124 individu yang disyaki 'keldai dadah', telah didakwa di mahkamah manakala tiga lagi dikenakan langkah-langkah pencegahan khas untuk tujuan pemulihan.

No comments:

Post a Comment