Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Penyamun tidak serik





MUAR - Seorang penyamun yang baru dibebaskan daripada menjalani hukuman penjara selama dua bulan kerana melakukan jenayah pecah rumah tidak pernah serik dengan hukuman diterimanya apabila dia mengulangi kegiatan tersebut. 

Bagaikan kemaruk dengan kegiatan mencuri, lelaki berusia 23 tahun itu bersekongkol dengan seorang lagi rakannya selama enam bulan untuk mendalangi lebih 10 jenayah yang sama sejak dari tempoh dia dibebaskan. 

Namun, kelicikan suspek dalam menjalankan semua kegiatan tersebut terbongkar apabila sepasukan anggota polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Batu 17, Air Hitam dekat Bakri di sini pada 30 November, lalu. 

Dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi itu, kedua-dua suspek turut ditahan dalam keadaan berkhayal selepas dipercayai menggunakan dadah jenis heroin. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan, berkata kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 29 dan 23 tahun.

“Dalam serbuan ini, polis berjaya merampas sejumlah barangan yang dipercayai dicuri iaitu sebuah motosikal, tiga televisyen, dua pemain cakera video, sebuah radio dan sebuah mesin meracun hidraulik.

“Suspek turut membawa polis ke sebuah lagi rumah dan berjaya menemui barangan curi lain termasuk kamera digital, gelang tangan emas, rantai perak, komputer riba dan telefon bimbit,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Choon Guan berkata, dengan penahanan kedua-dua suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan lebih 10 kes pecah rumah yang berlaku sejak enam bulan lalu di sekitar Bakri dan Sungai Balang.

Kesemua barangan yang dirampas ini dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 4 Disember lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dan pecah rumah,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara maksimum sehingga 14 tahun.

No comments:

Post a Comment