Search This Blog

Wednesday, December 29, 2010

Pengurus Kanan PDC mengaku tak bersalah


PENGURUS Kanan Bahagian Khidmat Pelanggan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), K Baskaran, 53, didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM5,700 pada 2006. - Foto Asman Ibrahim.bharian

PULAU PINANG 28 Dis. - Seorang Pengurus Kanan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM5,700, empat tahun lalu.
K. Baskaran, 53, yang bertugas di Bahagian Khidmat Pengurusan PDC didakwa membuat tuntutan tersebut melalui invois bernombor IN-007 bagi pembekalan peralatan komunikasi, EN200 Ethernet Communication Module pada 11 Ogos 2006 di pejabatnya di sini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengarahkan invois berkenaan dibayar walhal peralatan tersebut sebenarnya tidak dibekalkan oleh pembekal, Gizasoft Technologies Sdn. Bhd.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Janariah Abdul Mutalib yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Peguam, R. Rajivan yang mewakili Baskaran pula memohon jumlah tersebut dikurangkan memandangkan tertuduh telah berkhidmat di PDC selama 28 tahun selain jumlah tuntutan yang kecil.
Hakim Roslan Hamid membenarkan Baskaran diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 27 Januari ini.

No comments:

Post a Comment