Search This Blog

Friday, December 17, 2010

Pengedar mati ketika lari dari polis


17/12/2010 2:29pm

SHAH ALAM - Seorang lelaki disyaki pengedar dadah mati setelah terjatuh dari tingkat empat sebuah rumah pangsa di Blok 39, Taman Bunga Negara Seksyen 27, di sini ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis.
Lelaki berusia 29 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mencuri dan penyalahgunaan dadah, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supritenden Zahedi Ayob.
Beliau berkata, mayat lelaki yang terjatuh itu ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah oleh anggota polis yang menjalankan pemeriksaan di laluan pejalan kaki di belakang kawasan blok flat itu.
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dekat sini untuk bedah siasat, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan pada kira-kira pukul 4.30 petang semalam, lelaki terbabit adalah antara dua lelaki yang melarikan diri melalui bahagian belakang rumah berkenaan apabila menyedari rumah itu diserbu polis.
"Empat lagi lelaki yang berada di ruang tamu rumah itu dan dua yang bersembunyi di dalam bilik ditahan dan polis merampas satu paket dadah jenis syabu seberat 0.5 gram yang dianggar bernilai RM50 daripada seorang dari empat lelaki itu," katanya.
Zahedi berkata, polis menjalankan ujian air kencing terhadap enam lelaki yang berusia antara 19 dan 27 tahun itu dan tiga daripadanya didapati positif dadah.
Tiga yang positif dadah itu ditahan untuk siasatan lanjut manakala tiga lagi yang hasil ujian air kencing mereka negatif, dibebaskan, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment