Search This Blog

Wednesday, December 29, 2010

Pemuda maut kereta rempuh lori



MELAKA 28 Dis. - Hasrat seorang pemuda untuk bekerja sebagai pegawai tadbir di sebuah syarikat di Pontian, Johor, 5 Januari ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 182.4 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala arah utara di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian pukul 12.50 tengah malam itu, Sahrul Nizam Ahmad, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya, Julia Yazmeen Ali, 21, parah dan kini dirawat di Hospital Melaka.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam, kejadian berlaku apabila kereta Perodua Viva dipandu mangsa merempuh belakang sebuah lori membawa muatan besi.
Katanya sebelum kejadian, terdapat sebuah lagi kemalangan di arah yang sama iaitu melibatkan dua buah treler di Kilometer 183.2 pada pukul 12.30 tengah malam.
"Selepas kemalangan pertama itu, kenderaan mulai perlahan termasuk lori tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan kereta tersebut dipandu laju menyebabkan mangsa tidak menyedari lori di hadapannya itu yang memperlahankan kenderaan.
Ekoran itu, kereta dipandu mangsa merempuh lori terbabit menyebabkan mangsa maut dan rakannya parah di kepala.
Mayat Sahrul Nizam dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mangsa manakala Julia Yazmeen masih dirawat.
Sementara itu, bapa angkat Sahrul Nizam, Saadon Kamarudin, 49, ketika ditemui hari ini memberitahu, dia sama sekali tidak menyangka kejadian tersebut menimpa anak angkatnya.
"Ini kerana baru pukul 11.30 malam tadi, dia ada menghubungi saya menyatakan perasaan rindu ingin berjumpa.
"Namun selepas 45 minit, saya menerima panggilan telefon daripada Hospital Melaka yang mengatakan anak angkat saya terlibat dalam kemalangan," katanya.
Menurut Saadon, anak angkatnya dalam perjalanan ke Seremban, Negeri Sembilan selepas baru pulang dari kampung Sahrul Nizam di Parit Embok, Ayer Baloi, Pontian, Johor.
Jenazah Sahrul Nizam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Embok, Air Baloi, Pontian, Johor.

No comments:

Post a Comment