Search This Blog

Friday, December 17, 2010

Pasangan kekasih ditahan miliki dadah


17/12/2010 6:40pm


GEORGE TOWN — Polis merampas lebih tiga kilogram dadah yang dipercayai bernilai lebih RM30,000 apabila menahan seorang lelaki tempatan bersama teman wanitanya, seorang wanita rakyat China dalam sebuah kereta di Tanjong Tokong di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Supt. S. Batumalai berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 9 malam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
Katanya, setelah menyoalsiasat kedua-dua suspek itu, polis memeriksa rumah mereka di Jelutong di sini.
"Hasil pemeriksaan dalam rumah, polis menemui dadah jenis Ketamin seberat 1.7 kilogram, heroin 3.2 kilogram, pil eramin sebanyak 112 biji dan pil ecstasy sebanyak 23 biji.
"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM4,000 dan sebuah komputer riba,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki dan teman wanitanya itu dalam lingkungan umur 20-an dan berdasrkan cara bungkusan dadah yang ditemui itu, polis percaya mereka cuba mengedar dadah itu.
Batumalai menambah, lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau pada awal tahun 2000 kerana memiliki dadah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori, katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment