Search This Blog

Tuesday, December 21, 2010

Paip meletup angkara pencuri



ANGGOTA bomba dan petugas Palang Merah bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dan mencari mangsa terselamat di kampung San Martin Texmelucan yang musnah akibat letupan paip minyak Pemex angkara pencuri, dekat Puebla, Mexico, kelmarin. - REUTERS


PUEBLA, Mexico 20 Dis. - Sekurang-kurangnya 28 orang maut dalam letupan saluran paip minyak mentah di tengah Mexico semalam, mencetuskan kebakaran besar yang memusnahkan berpuluh-puluh rumah dan menyebabkan jalan bertukar menjadi 'sungai api'.
Ratusan penduduk lari menyelamatkan diri apabila letupan kuat itu menggegarkan pekan Texmelucan, 100 kilometer ke tenggara Mexico City, sebelum subuh semalam, nahas yang dipercayai berpunca daripada pencuri yang cuba mengalirkan minyak mentah keluar dari saluran paip syarikat minyak Petroleos Mexicanos (Pemex).
Bahang api itu begitu panas sehingga menyebabkan jeriji besi menggeleding, cermin tingkap dan pintu pecah, dan kereta menjadi rentung.
Api menjulang dari pokok-pokok yang terbakar, dan anggota bomba menggunakan penyodok untuk membuang lapisan abu yang memenuhi jalan.
"Sekumpulan penjenayah membocorkan saluran paip Pemex dan minyak mentah keluar mencurah tanpa dapat dikawal disebabkan tekanan tinggi.
"Jalan mula dibanjiri minyak, kemudian berlaku percikan api dan kami melihat jalan berubah menjadi sungai api," kata Setiausaha Kerajaan negeri Puebla, Valentin Meneses.
Pegawai perlindungan awam, Laura Gurza berkata, 52 orang cedera manakala 32 rumah musnah sama sekali dalam kebakaran yang akhirnya dipadamkan oleh pasukan kecemasan.
Sebanyak 83 rumah lagi rosak dan Menteri Dalam Negeri, Francisco Blake yang melawat kawasan kejadian memberi amaran angka kematian mungkin meningkat.
Kegiatan mencuri minyak dari saluran paip di Mexico semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, mengakibatkan kerugian 10 bilion peso (RM2.48 bilion) setahun. - AFP

No comments:

Post a Comment