Search This Blog

Tuesday, December 28, 2010

Nelayan Vietnam dicekup bom ikan

KUCHING: Sekumpulan nelayan Vietnam yang dipercayai mengebom ikan di perairan Beting Patinggi Ali, Tanjung Lobang, Miri, tumpas selepas dua jam dikejar bot peronda Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jumaat lalu.
Walaupun menggunakan taktik menyamar dengan menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan, namun ia tidak berjaya melindungi pencerobohan mereka itu apabila dikesan sepasukan anggota APMM Miri yang menjalankan Ops Khas di perairan berkenaan kira-kira jam 4.30 petang.

Curiga dengan kehadiran sebuah bot nelayan, pihak berkuasa maritim itu mengarahkan mereka berhenti untuk pemeriksaan, tetapi arahan itu tidak diendahkan dan bot terbabit memecut untuk melarikan diri.

Bagaimanapun, selepas hampir dua jam dikejar, bot nelayan asing terbabit dipintas di 106 Batu Nautika dari Tanjung Lobang dan anak kapal terdiri daripada 16 lelaki warga Vietnam berusia antara 20 hingga 58 tahun ditahan.

Ketua Penguat Kuasa APMM Sarawak, Laksamana Pertama Ismaili Bujan Pit, berkata berikutan itu pihaknya menemui hasil tangkapan ikan sebanyak 500 kilogram dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan mengebom ikan.

“Berdasarkan peralatan seperti wayar penyambung dan bateri yang ditemui atas bot itu, kami percaya nelayan asing terbabit menggunakan teknik mengebom untuk memperoleh hasil tangkapan lebih banyak.


“Selain itu, pemeriksaan mendapati bot terbabit tidak mempunyai permit daripada Jabatan Laut Malaysia untuk memasuki perairan negara,” katanya.

Beliau berkata, semua lelaki terbabit kini ditahan di Maritim Miri bagi menjalankan siasatan manakala tekong yang cedera dihantar ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan perikanan Malaysia dan sabit kesalahan tekong boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala awak-awak boleh didenda RM100,000 setiap seorang,” katanya.

No comments:

Post a Comment