Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

Mayat dalam longkang





KLANG - “Saya sempat bermain mahjong bersama Lai Fat (mangsa) di rumah salah seorang abang kami kira-kira jam 9 malam kelmarin. Sejam kemudian kami beredar pulang ke rumah masing-masing. Saya tidak tahu apa yang berlaku padanya sehinggalah pagi ini (semalam) saya mendapat panggilan memaklumkan dia mati.” Begitulah reaksi Chong Chee Keong, 46, yang juga pemilik sebuah bengkel motosikal di sekitar Pelabuhan Klang selepas dimaklumkan adiknya, Chong Lai Fat, 42, ditemui mati dalam sebuah longkang di kawasan Perindustrian Fasa 4, Bandar Sultan Sulaiman, semalam. 

Dalam kejadian pagi semalam berhampiran sebuah kilang komponen kenderaan, Lai Fat, 42, yang bekerja sebagai mekanik ditemui mati dalam sebuah longkang sedalam kira-kira 1.8 meter. 

Manakala kereta jenis Proton Arena dipercayai milik mangsa turut terbakar yang terletak kira-kira 30 meter dari mayat mangsa ditemui. 

Menurutnya, Lai Fat memang minat memancing dan dia seringkali menghabiskan masa dengan aktiviti itu sejak bercerai dengan isteri. 

“Apabila tamat kerja dia mesti pergi memancing. Tapi saya tidak sangka dia meninggal dalam keadaan begini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohamad Shukor Sulong berkata, siasatan awal mendapati tiada kesan terbakar atau kecederaan pada mayat mangsa. 

"Mangsa yang masih lengkap berpakaian itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebaik menyedari keretanya tiba-tiba terbakar. Ketika itu mungkin mangsa sedang asyik menjala ikan berdasarkan penemuan ikan pada jala yang dipercayai milik mangsa,” katanya. 

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. 

“Saksi kejadian diminta tampil ke IPD Klang Utara bagi membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment