Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Lepas diri semasa ditinggalkan sendirian


KUALA LUMPUR 4 Dis. - Seorang gadis terselamat daripada menjadi mangsa culik dua lelaki apabila berjaya melepaskan diri semasa ditinggalkan sendirian di sebuah rumah di Alam Megah, Shah Alam dekat sini semalam.
Mangsa yang bekerja di sebuah kedai serbaneka di Mentari Court, Petaling Jaya dekat sini, dilarikan oleh dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira pada pukul 1 tengah hari.
Suspek bertindak menarik mangsa masuk ke dalam kereta ketika gadis terbabit berjalan sendirian pergi ke sebuah kedai fotokopi yang terletak berhampiran tempat kerjanya.
Dia kemudian dibawa suspek pergi ke sebuah rumah di Alam Megah dan dikurung dalam sebuah bilik.
Setelah mengurung mangsa, penjenayah terbabit meninggalkan rumah tersebut dipercayai untuk keluar makan.
Kesempatan itu digunakan oleh mangsa untuk melarikan diri dan dia bernasib baik apabila berjaya melolos keluar dari rumah terbabit melalui tingkap.
Bimbang bertembung dengan suspek, mangsa mengambil keputusan bersembunyi di kedai berhampiran dan segera menghubungi keluarga untuk menyelamatkannya.
Melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar, mangsa akhirnya berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh keluarganya.
Kejadian itu kemudian dilaporkan oleh keluarga mangsa kepada polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan suspek.
"Kita sedang menyiasat laporan kes culik ini namun setakat ini belum ada tangkapan dibuat kerana polis memerlukan lebih banyak maklumat untuk mengenal pasti suspek memandangkan mangsa sendiri tidak mengenali mereka," ujarnya.

No comments:

Post a Comment