Search This Blog

Tuesday, December 21, 2010

Kastam rampas mercun, bunga api RM300,000



KOTA KINABALU 20 Dis. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM300,000 dalam dua serbuan di Penampang di sini hari ini.
Pengarah JKDM Sabah, Mohd. Kassim Ismail berkata, dalam operasi tersebut pihaknya turut menahan lima orang bagi membantu siasatan.
"Berdasarkan kepada maklumat awam, sepasukan anggota penguat kuasa menyerbu sebuah premis di Jalan Bundusan, Penampang dan menemui sejumlah bunga api dan mercun di dalam lori.
"Berdasarkan maklumat daripada serbuan itu, kami menahan sebuah lori di Jalan Lintas yang dipercayai membawa sejumlah mercun dan bunga api ke premis berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Sepanggar di sini hari ini.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 yang boleh dikenakan denda tidak lebih daripada 20 kali nilai barang rampasan atau penjara sehingga tiga tahun.
Dalam pada itu katanya, berdasarkan siasatan awal kesemua barangan berkenaan adalah untuk dipasarkan sekitar Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran
Katanya, kesemua barangan berkenaan dipercayai untuk dipasarkan sempena perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina.
Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi membanteras penyeludupan mercun dan bunga api khususnya di musim perayaan ini.
"Saya ingin mengingatkan kepada orang awam bahawa menjual, membeli dan menyimpan mercun dan bunga api adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment