Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Kanak-kanak mati bukan mangsa dera

SAYU... jenazah Nur Amira dibawa masuk ke dalam kereta jenazah.
SAYU... jenazah Nur Amira dibawa masuk ke dalam kereta jenazah.


IPOH: Polis setakat ini mengklasifikasikan kes kematian seorang kanak-kanak dua tahun yang meninggal dunia disyaki didera awal pagi kelmarin, sebagai mati mengejut berdasarkan laporan bedah siasat menunjukkan mangsa cedera di kepala akibat terkena benda objek keras ketika jatuh.
Bagaimanapun, polis masih meneruskan siasatan dan mendapatkan beberapa maklumat daripada beberapa saksi, termasuk mengambil keterangan daripada pengasuh mangsa yang sebelum ini mendakwa kanak-kanak itu mengalami demam panas beberapa hari akibat terjatuh selepas menaiki basikal.

Budak perempuan berkenaan, Nur Amira Natsha Abdullah meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang (HCM) awal pagi kelmarin sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengesan punca kematiannya.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan dan jika wujud unsur membabitkan penderaan, tindakan selanjutnya akan diambil.

Beliau berkata, Nur Amira dimasukkan ke HCM pada pagi Khamis lalu dan meninggal dunia tengah malam hari sama.

“Mangsa dihantar ke hospital oleh pengasuhnya dan bapa kanak-kanak terbabit kemudian membuat laporan polis selepas mendapati ada kesan pendarahan di kepala anaknya,” katanya ketika di hubungi di sini, semalam.

Kelmarin, usaha keluarga membawa pulang jenazah mangsa tidak dapat dilakukan berikutan ketiadaan pakar forensik di HRPB selain satu proses bedah siasat terperinci perlu dilakukan bagi mengesan punca kematian kerana ia kemungkinan berkaitan dengan kes dera.

Pakar Perunding Kanan Patalogi Forensik yang juga Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh dipanggil bagi menjalankan bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak itu semalam bagi mengesan punca kematian.

Sebelum ini, Nur Amira dijaga oleh neneknya, Rohani Abd Hamid, 54, yang menetap di Kampung Nyiur, Tanjung Blanja, Parit namun, kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada pengasuhnya di Kampung Talang Dalam sejak dua bulan lalu kerana Rohani mendapat tawaran bekerja sebagai operator kilang di Ipoh.

Sementara itu, tinjauan Metro Ahad di Bilik Forensik HRPB semalam mendapati ibu mangsa, Rosnani Rahman, 23, bersama ahli keluarganya yang lain tiba kira-kira jam 9 pagi semalam bagi menuntut jenazah Nur Amira.

Kira-kira jam 1.15 petang semalam, jenazah Nur Amira dibawa pulang ke kampung keluarganya di Kampung Nyiur, Tanjung Belanja, Parit untuk dikebumikan.

No comments:

Post a Comment