Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

Ibu tidak percaya anak terbabit jenayah





RANTAU PANJANG – Ibu mangsa yang ditemui mati di Kampung Alor Pasir, Tanah Merah tidak percaya anaknya terlibat dengan kegiatan jenayah. 

Ibu mangsa, Zaiton Mohd Yassin, 57, berkata, dia tidak mempercayai anaknya, Nor Azman Ubaidillah, 37, terlibat dengan kes jenayah kerana tidak pernah ditahan polis sebelum ini. 

Menurutnya, dia kesal dengan tindakan mereka yang melakukan kekejaman ke atas anaknya dan mahukan pihak polis menjalankan siasatan sewajarnya. 

“Saya redha dengan pemergian anak saya, namun saya kecewa dengan tindakan tidak berhati perut orang ramai ketika kita mempunyai undang-undang dan mereka tidak melaksanakan undang-undang mereka sendiri. 

“Saya diberitahu anak saya keluar pada malam kejadian kerana mahu mengambil semula motosikalnya yang dilarikan rakan tetapi apa yang berlaku semalam sama sekali bertentangan,” katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Banggol Kulim. 

Sementara itu, kakak mangsa, Nor Mouzi, 43, berkata, dia mengetahui mengenai kematian adiknya selepas saudara terdekat memberitahunya serta turut memaklumkan mayat berada di Hospital Tanah Merah. 

Menurutnya, adiknya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi, selepas ditemui terbaring di atas rumput oleh abang iparnya ketika sedang mencarinya kerana tidak pulang ke rumah. 

“Saya difahamkan adik saya ke kampung berkenaan untuk mengambil balik motosikalnya yang dilarikan salah seorang rakannya dua hari lalu. 

“Mungkin kerana salah faham menyebabkan tindakan adiknya itu telah disedari beberapa penduduk kampung sebelum bertindak membelasah mangsa bertubi-tubi,” katanya. 

Nor Mouzi berkata, selepas menerima berita tersebut kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin, dia sekeluarga bergegas ke hospital Tanah Merah untuk melihat mayat adiknya. 

Menurutnya, dia terkejut melihat mayat adiknya yang cedera di bahagian mulut dan percaya adiknya dibelasah teruk sehingga mengalami sesak nafas. 

Sementara itu, isteri mangsa Hazalina Abdul Aziz, 31, berkata, suaminya keluar dari rumah jam 1.30 pagi tanpa memaklumkan tujuannya. 

“Saya sempat menghulurkan sehelai jaket selepas dimintanya dan dia terus menunggang motosikal sehingga saya dikejutkan dengan berita itu kira-kira jam 6.30 pagi,” katanya sambil merayu kepada polis agar menjalankan siasatan secara adil berhubung kes tersebut.

No comments:

Post a Comment