Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Hasrat keluarga mangsa bunuh





JOHOR BAHRU – Keluarga wanita mengandung yang ditemui mati dengan kesan kelar di leher dipercayai dilakukan suaminya sendiri meminta supaya polis menyiasat kes tersebut secara menyeluruh. 

Bapa mangsa, Hamzah Mohd, 51, berkata, dia bersedia untuk menghantar sepucuk surat kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman, Kuala Lumpur, sekiranya siasatan sedia ada tidak dapat menegakkan keadilan terhadap anak perempuannya. 

“Bukti sudah dapat dan kes ini adalah berat sekali gus memerlukan siasatan terperinci untuk mendakwa lelaki terbabit kerana ternyata dia mempunyai niat membunuh. 

“Saya berharap kes ini dapat disiasat seadilnya dan tidak melepaskan penjenayah hidup bebas begitu sahaja tanpa dikenakan sebarang hukuman setimpal,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor, di sini, kelmarin. 

Dalam pertemuan itu, Hamzah bersama isterinya, Maimon Hamid, 49, dijemput hadir ke pejabat Perkeso Johor untuk menerima cek Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM750 setiap seorang. 

Hamzah berkata, dia amat berharap Perkeso Johor tidak melakukan pembayaran Pencen Penakat yang akan diterima oleh bekas suami mangsa berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. 

“Kami (keluarga) yang kehilangan nyawa anak tidak meraih sebarang faedah, tetapi bekas suami pula menerima sejumlah wang pencen selepas melakukan membunuh. 

“Menjadi harapan saya sekeluarga supaya bekas suami anak perempuan tidak meraih bayaran pencen secara bulanan. 

“Tidak mengapa bekas suami menerima bayaran pencen bulanan ini sekiranya anak perempuan saya meninggal dunia kerana sakit atau sebab lain, tetapi dia dibunuh kejam oleh lelaki terbabit,” katanya. 

Selain itu, katanya, dia sekeluarga bersyukur di atas keprihatinan Perkeso Johor yang bertindak menguruskan faedah caruman anak perempuannya dan memberikan cek pengurusan jenazah. 

Pengarah Perkeso Johor, Che Hamid Che Ahmad berkata, pihaknya mengucapkan takziah di atas pemergian mangsa dan usaha dilakukan oleh itu berdasarkan arahan daripada ibu pejabat sejurus akhbar tempatan melaporkan berita berhubung kes tersebut. 

“Selepas membuat siasatan terperinci mendapati mangsa mempunyai bilangan caruman yang dibuat sebanyak 24 bulan dalam tempoh 40 bulan sebelum kematian seperti termaktub dalam akta. 

“Justeru, kami menyampaikan cek pengurusan jenazah kepada keluarga mangsa pada hari ini (kelmarin) seterusnya akan menguruskan pembayaran Pencen Penakat mangsa,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, Perkeso Johor juga akan meneliti permohonan bapa mangsa supaya bayaran Pencen Penakat tidak dibayar kepada bekas suami berikutan kes ini sedang di bawah siasatan polis dan segalanya bergantung kepada keputusan mahkamah. 

“Berdasarkan akta yang sudah termaktub, sekiranya orang berinsurans meninggal dunia di luar waktu kerjanya, balu atau duda mereka akan menerima Pencen Penakat. 

“Bagi kes ini, Perkeso Johor akan melakukan penelitian dan siasatan terlebih dahulu berhubung kelayakan terima Pencen Penakat kepada bekas suami kerana terdapat bantahan daripada keluarga mangsa,” katanya. 

Terdahulu, media massa tempatan melaporkan kematian seorang wanita mengandung yang ditemui mati dengan kesan kelar di lehernya dipercayai dilakukan oleh suaminya sendiri pada 22 November lalu. 

Mangsa, 26, ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah.

No comments:

Post a Comment