Search This Blog

Friday, December 31, 2010

Guru dipenjara 5 tahun, 4 sebatan



MUAR 30 Dis. - Seorang guru sekolah menengah dihukum penjara lima tahun dan sebatan empat kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun, pertengahan tahun lalu.
Mohd. Esa Mohd. Yusof, 26, mengaku merogol remaja terbabit di sebuah rumah di Taman Bahagia di Jalan Abdul Rahman di sini antara pukul 12.01 tengah malam dan 1 pagi, 28 Jun 2009.
Dia juga mengaku mengulangi perbuatan tersebut terhadap mangsa di sebuah rumah lain di taman perumahan yang sama antara pukul 8 dan 10 malam, 22 Ogos 2009.
Kedua-dua tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Bagi setiap tuduhan tersebut, Mohd. Esa dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan sebatan dua kali.
Hakim Kamaruddin Kamsun bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.
Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Mohd. Razak Shaari yang mewakili Mohd. Esa memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan memandangkan tertuduh telah digantung kerja dan terpaksa bekerja sendiri untuk menyara keluarganya.
"Dia telah berkahwin dan mempunyai tiga anak yang berusia antara satu hingga empat tahun dan pada masa ini isterinya sedang mengandung anak keempat.
"Anak guam saya telah benar-benar insaf dan bertaubat dan ini dapat dilihat dengan dia telah mengaku bersalah," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zairani Tugiran meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan tertuduh ialah seorang guru dan kes tersebut mempunyai kepentingan awam.
Selain kes tersebut adalah amat serius, katanya, tertuduh hanya menukar pengakuan kepada bersalah selepas enam bulan perbicaraan berjalan dan tujuh saksi dipanggil memberi keterangan di mahkamah.

No comments:

Post a Comment