Search This Blog

Friday, December 17, 2010

Gurauan hidup sendiri

PASIR MAS: “Kalau saya pergi dulu, sanggup tak awak tinggal seorang diri,” tanya Nooramizzeran Nordin, 27, kepada isterinya, Siti Norafni Mat Zain, 24, sebelum dia maut dalam kemalangan di simpang tiga di Chica Tinggi, Lati, dekat sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 8.25 malam itu berlaku apabila mangsa yang menaiki motosikal Honda EX5 merempuh sebuah motosikal lain di hadapannya lalu tercampak ke tiang telefon di kiri jalan simpang berkenaan.

Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Lebai Akil, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian selepas mengisi minyak di kawasan berkenaan.

Menurut Siti Norafni, sehari sebelum kejadian suaminya membuat pertanyaan berkenaan dan dia menyangkakan itu gurauan.

“Kata-kata itu diluahkan suami malam Selasa lalu sebelum kami tidur.

“Pada masa sama, saya sempat bertanyakan dia hendak ke mana atau ingin bercerai, namun dia berdiam diri,” katanya. Beliau berkata, dia tidak menyangka kata-kata suaminya itu membawa petanda kematiannya.


Katanya, dia hanya mengetahui kemalangan itu menerusi keluarga mentua yang dihubungi penduduk kampung.

“Ahli keluarga suami bergegas ke tempat kejadian dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum polis datang dan membawa mayatnya ke Hospital Pasir Mas (HPM),” katanya.

Siti Norafni berkata, jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebai Akil, jam 11 pagi semalam.

Katanya, dia terkilan kerana suaminya tidak sempat menikmati makan malam berlaukkan daging kerbau dan sup kaki yang dimasak mentuanya sedangkan sebelum itu arwah beriya-iya ingin menikmatinya.

“Saya berserah kepada Allah dan menjaga anak tunggal kami, Muhammad Hadiq Haikal, 10 bulan,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kantin di Institut Kemahiran Mara Lubok Jong, dekat Rantau Panjang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim, berkata kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal bersendirian dan merempuh sebuah motosikal lain di depannya di simpang tiga kampung berkenaan.

Menurutnya, akibat kemalangan itu mangsa terjatuh dan terhantuk pada tiang telefon serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment