Search This Blog

Saturday, December 25, 2010

Geng Ali Baba tumpas

MUAR: Kegembiraan lima penjenayah warga Vietnam bergelar kumpulan Ali Baba yang baru selesai memecah masuk sebuah rumah tidak berpanjangan apabila ditahan polis beberapa kilometer dari premis berkenaan.
Mereka ditahan ketika menaiki teksi dengan membawa hasil curi itu untuk dibawa ke rumah sewa berdekatan Jalan Salleh di sini, kelmarin.

Polis menahan teksi yang membawa lima penumpang warga asing mencurigakan di persimpangan lampu isyarat dekat Sungai Terap, Bukit Pasir, di sini, kira-kira jam 4.40 pagi.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaan awam itu, suspek dipercayai cuba melarikan diri daripada polis, namun tindakan pantas anggota keselamatan itu berjaya menahan semua suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nasir Ramli berkata, hasil pemeriksaan, polis merampas beberapa perkakas yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah.

Katanya, antara barangan dirampas dua mesin pemotong besi, mata pemotong besi, pemutar skru, spanar, gunting, penutup hidung, cermin mata plastik, pita pelekat dan sarung tangan getah yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

“Selain itu, kami juga merampas pelbagai barangan disyaki dicuri seperti pembesar suara dan set komputer yang diletakkan di ruang barang kenderaan itu,” katanya dalam sidang media, semalam.

Katanya, hasil siasatan mendapati semua suspek tiada dokumen perjalanan sah serta tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak memasuki negara ini sembilan bulan lalu.
“Semua suspek berusia antara 19 hingga 32 tahun. Suspek yang berusia 32 tahun itu disyaki ketua kumpulan penjenayah bergelar Ali Baba yang bergiat aktif sejak September lalu,” katanya di sini.

Katanya, penahanan suspek menyelesaikan lima kes pecah masuk kilang yang dilaporkan di sekitar daerah ini.

Selain itu, katanya, hasil maklumat diberikan suspek, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Ria dekat Jalan Kim Kee yang didakwa menjadi sarang persembunyian serta markas kumpulan berkenaan.

No comments:

Post a Comment