Search This Blog

Tuesday, December 21, 2010

Enam pengganas Indonesia dihukum penjara hingga 9 tahun



JAKARTA 20 Dis. - Sebuah mahkamah di Indonesia hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehingga sembilan tahun ke atas enam lelaki kerana terlibat dalam kumpulan pengganas yang dikenali sebagai 'Al-Qaeda di Aceh'.
Kumpulan itu didakwa menjalani latihan untuk melancarkan serangan ala Mumbai melibatkan beberapa kumpulan kecil penyerang berani mati bersenjata api yang menjadikan kepentingan Barat dan tokoh politik di ibu negara ini sebagai sasaran.
Oman Rohman, 38, dikenakan hukuman penjara sembilan tahun kerana menyediakan wang AS$2,320 (RM7,192) untuk membiayai latihan ketenteraan kumpulan itu di dalam hutan di Aceh, kata Ketua Hakim, Mutarto di mahkamah daerah Jakarta Barat.
"Dia menyerahkan wang itu terus kepada Dulmatin pada akhir 2009 untuk menganjurkan latihan," katanya yang merujuk kepada militan paling dikehendaki di rantau ini sebelum dia dibunuh oleh polis Indonesia pada Mac lalu.
Dulmatin yang didakwa mendalangi serangan bom di Bali yang membunuh 202 orang pada 2002, disyaki mengetuai kumpulan Aceh yang dibongkar oleh polis pada Februari lalu.
Dalam perbicaraan berasingan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hingga lapan tahun ke atas lima lelaki kerana menyertai kem latihan kumpulan itu selain memiliki senjata api secara haram.
Hukuman tersebut jauh lebih ringan daripada penjara 12 tahun yang diminta oleh pendakwa raya dan hukuman mati maksimum bagi kesalahan itu.
Beratus-ratus suspek militan telah dibunuh atau ditangkap berhubung rangkaian di Aceh itu, termasuk guru agama yang didakwa menjadi pemimpin dan pembiayanya, Abu Bakar Bashir. -AFP

No comments:

Post a Comment