Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Dua sepupu terbunuh

 



KUANTAN - Keriangan dua sepupu menghabiskan cuti hujung minggu di bandar ini berakhir tragedi apabila mereka terbunuh selepas kereta yang dnaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 37, Jalan Kuantan-Kemamani, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Azlan Ahmad, 33, dari Taman Kemajuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah dan Bernard Arasad, 34, dari Kampung Peringatan Petagas, Penampang, Sabah, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di badan. 

Ketika kejadian, dua mangsa terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke asrama tempat mereka bekerja di Kemaman, Terengganu dari bandar ini. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superitendan Zulkifli Taha berkata, seorang lagi mangsa iaitu pemandu kereta Perodua kancil itu, Datu Kumpasan Ali, 30-an, parah di badan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku AmpuanAfzan (HTAA), 

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda Ford itu, Ahmad Amri Mahmad Razali, 33, dan lima ahli keluarganya hanya cedera ringan. 

“Dua mangsa yang juga sepupu bersama rakan mereka datang ke bandar ini semalam bagi menghabiskan cuti hujung minggu,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Zulkifli berkata, ketika kejadian kereta Perodua Kancil itu dalam perjalanan dari Kuantan ke sebuah asrama kilang di Kemaman, Terengganu. 

“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dinaiki tiga mangsa itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapan. 

“Bagaimanapun, kereta itu gagal memotong lalu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan,” katanya. 

Akibat pelanggaran itu, katanya, kereta Perodua Kancil itu remuk menyebabkan mangsa maut. 

Sementara itu, Ahmad Amri berkata, ketika kejadian, diabersama isteri, Rohaida Awang, 33, dan empat anaknya dalam perjalanan dari Kemaman untuk pulang ke kampung mereka di Pekan. 

”Saya nampak kereta Perodua Kancil itu datang dari depan dan dalam jarak 50 meter, secara tiba-tiba ia masuk ke laluan bertentangan. 

”Saya tidak sempat untuk mengelak kerana jarak yang terlalu dekat sehingga menyebabkan kami bertembung,” katanya. 

Ahmad Amri yang juga pensyarah di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Gebeng bersyukur keluarganya selamat.

No comments:

Post a Comment