Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Dua sepupu terbunuh


KUANTAN 4 Dis. - Keriangan dua sepupu menghabiskan cuti hujung minggu di bandar ini berakhir tragedi apabila kedua-duanya terbunuh selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 37, Jalan Kuantan-Kemaman di sini hari ini.
Ketika kejadian pada pukul 8 pagi itu, mangsa, Azlan Ahmad, 33, dari Taman Kemajuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah dan Bernard Arasad, 34, dari Kampung Peringatan Petagas, Penampang, Sabah, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan.
Kedua-dua mangsa terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke asrama tempat mereka bekerja di Kemaman, Terengganu dari bandar ini.
Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Zulkifli Taha berkata, seorang lagi mangsa yang merupakan pemandu kereta Perodua kancil itu, Datu Kumpasan Ali, 30-an, mengalami cedera parah di beberapa bahagian badan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
"Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford itu, Ahmad Amri Mahmad Razali, 33, dan lima ahli keluarganya hanya mengalami kecederaan ringan.
"Dua mangsa yang merupakan sepupu bersama rakan mereka datang ke bandar ini semalam bagi menghabiskan cuti hujung minggu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zulkifli berkata, kereta Perodua Kancil itu dalam perjalanan dari Kuantan ke sebuah asrama kilang di Kemaman, Terengganu.
"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dinaiki tiga mangsa itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapan.
"Bagaimanapun, ia gagal berbuat demikian dan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan," jelasnya.
Ekoran perlanggaran itu, kata beliau, kereta Perodua Kancil berkenaan remuk teruk sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, Ahmad Amri berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri, Rohaida Awang, 33, dan empat anaknya dalam perjalanan dari Kemaman untuk pulang ke kampung mereka di Pekan.
"Saya nampak kereta Perodua Kancil itu datang dari depan dan dalam jarak 50 meter, secara tiba-tiba ia masuk ke laluan bertentangan sebelum terbabas ke tepi jalan," katanya.

No comments:

Post a Comment