Search This Blog

Monday, December 13, 2010

Dua letupan bom gegarkan Stockholm




2010/12/13


  • Foto
    ANGGOTA bomba cuba memadamkan kereta yang terbakar dalam kejadian letupan di Stockholm, kelmarin.
  • Foto
    POLIS mengambil gambar mangsa yang mati dipercayai suspek.
Polis Sweden siasat kes diklasifikasi jenayah keganasan, syak babit pengebom bunuh diri

STOCKHOLM: Polis Sweden berkata siasatannya berhubung letupan dua bom di sini malam kelmarin mendapati ia adalah kes jenayah keganasan dan mengesyaki mangsa korban tunggal adalah pengebom bunuh diri.
Bagaimanapun, pengarah operasi polis Sweden Anders Thornberg berkata pihaknya masih belum mahu mengesahkan mangsa korban adalah pengebom bunuh diri atau mendedahkan identitinya kerana keluarga terdekat belum dimaklumkan.“Kami sedang menyiasat kes ini sebagai jenayah keganasan di bawah undang-undang Sweden. Bagaimanapun kami belum lagi meningkatkan paras ancaman keselamatan,” kata jurucakap polis Anders Thornberg.

Antara kemungkinan punca serangan itu ialah kemarahan terhadap pembabitan tentera Sweden di Afghanistan dan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW dilukis oleh pelukis Sweden.

Seorang lelaki terbunuh dan dua lagi cedera dalam dua letupan bom terbabit di sebuah kawasan membeli belah yang sibuk di Stockholm.

Seorang lagi jurucakap polis, Kjell Lindgren berkata letupan berlaku, sejurus selepas satu emel dihantar ke sebuah agensi berita mengancam tindakan balas berikutan kehadiran tentera Sweden di Afghanistan. 
“Kami tidak menolak kemungkinan lelaki yang terbunuh itu meletupkan bom yang dibawanya. Bagaimanapun andaian ini belum disahkan pegawai penyiasat,” katanya.

Beliau berkata polis juga masih menyiasat kemungkinan masih ada bom yang tidak meletup di lokasi.

Menteri luar Sweden, Carl Bildt Bildt dalam kenyataannya mengulas kejadian itu melalui akaunnya di laman sembang Twitter berkata: “Perkara paling membimbangkan ialah serangan itu dilakukan di kawasan sibuk di tengah Stockholm. Walaupun gagal, ia boleh memberi akibat buruk.”

Agensi berita Sweden TT berkata pihaknya menerima satu emel amaran kepada Sweden dan rakyatnya kira-kira 10 minit sebelum letupan yang berlaku pada jam 5 petang waktu tempatan.

TT berkata amaran sama menggunakan bahasa Sweden dan Arab, dihantar kepada Polis Keselamatan Sweden (SPO) dengan merujuk kepada karikatur Nabi Muhammad yang dilukis pelukis Sweden Lars Vilks.

“Tindakan yang dilakukan adalah kenyataan pendirian kami iaitu selagi anda tidak menghentikan perang terhadap Islam dan menghina Rasulullah atau menyokong ‘si babi Vilks,” kata TT, memetik kenyataan seorang lelaki dalam kenyataan yang dirakam.

Jurucakap polis, Petra Sjolander berkata letupan pertama berlaku di sebuah kereta yang mengandungi tabung gas. Lelaki yang mati itu ditemui di lokasi letupan kedua, kira-kira 300 meter dari situ.

Mac lalu, seorang rakyat Amerika yang menggelar dirinya ‘JihadJane’ didakwa merancang pembunuhan Vilks menggunakan internet untuk menyenaraikan mereka yang akan membantunya. Pada Mei lalu, penyerang tidak dikenali cuba membakar rumah Vilks.

Sementara itu seorang pakar perubatan berkata daripada keadaan lelaki itu beliau mengesyaki sesuatu meletup di perutnya.

“Saya cuba membuka skaf di mukanya agar dia boleh bernafas tetapi sudah terlambat. Beliau tidak mengalami kecederaan di muka atau tubuhnya manakala kedai berhampiran juga tidak rosak,” kata pakar berkenaan dipetik laman web DN.se. – Reuters 

No comments:

Post a Comment