Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Dua bersaudara terkorban

KUANTAN: Dua bersaudara dalam perjalanan pulang ke asrama di sebuah kilang di Kemaman, Terengganu terbunuh selepas Perodua Kancil dinaiki bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 37, Jalan Kuantan-Kemaman, Cherating, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu mengakibatkan Azlan Ahmad, 33, dari Taman Kemajuan, Likas, Sabah dan Bernad Arasad, 34, dari Kampung Petagas, Penampang, Sabah maut di tempat kejadian dipercayai cedera parah di kepala.

Pemandu Perodua Kancil, Datu Kumpasan Ali berusia 30-an juga berasal dari Sabah dikatakan cedera parah di tubuh dan menerima rawatan lanjut di Hospital Kemaman (HK).

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu Datu Kumpasan yang dalam perjalanan menghala ke Kemaman dari Balok, di sini, dipercayai cuba memotong kereta lain.

Bagaimanapun, katanya, kereta mangsa bertembung sebuah pacuan empat roda dinaiki enam sekeluarga dari arah bertentangan, mengakibatkan mereka tersepit.

Katanya, mangsa kemudian dikeluarkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng yang mengambil masa hampir setengah jam sebaik menerima panggilan.

Zulkifli berkata, mayat dua bersaudara itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemandu pacuan empat roda, Ahmad Amri Mahmad, 38, berkata dia menyedari kehadiran kereta berkenaan masuk ke laluannya dan cuba mengelak namun gagal berikutan terlalu dekat.

No comments:

Post a Comment