Search This Blog

Tuesday, December 21, 2010

Doktor gigih selamatkan nyawa remaja ditikam 19 kali



JOHOR BAHRU 20 Dis. - Walaupun peluang remaja yang ditikam sebanyak 19 kali dan disimbah asid, Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, untuk hidup agak tipis namun sekumpulan doktor pakar di Hospital Sultan Ismail (HSI) kini gigih berusaha untuk menyelamatkan mangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, setelah empat hari dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), keadaan Nur Ain yang cedera 75 peratus badannya, agak kritikal.
"Setelah menjalani rawatan kulit bagi membuang sel-selnya yang rosak dan mencuci kecederaan di tubuhnya, dia kini telah dikeluarkan dari bilik pembedahan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Saya dimaklumkan kecederaan yang dialami Nur Ain akibat simbahan asid telah menyebabkan pelbagai komplikasi, bukan saja kesan melecur kulit malah pada bahagian yang terkena tikaman," katanya kepada pemberita selepas diberi taklimat dan melawat Nur Ain di HSI hari ini.
Taklimat mengenai keadaan Nur Ain disampaikan Timbalan Pengarah Perubatan HSI, Dr. Khadijah Abu Bakar.
Dalam kejadian 9.15 pagi 16 Disember lalu, mangsa yang berasal dari Kampung Baru Sungai Redan, Kota Tinggi ditikam bertubi-tubi di beberapa bahagian tubuh termasuk kiri dan kanan punggung, belakang badan, kedua-dua belah tangan dan kaki selain melecur 75 peratus akibat disimbah dengan asid.
Perbuatan itu dilakukan oleh seorang lelaki berusia 42 tahun berasal dari Kampung Air Putih, Nam Heng yang dikatakan tidak dapat menerima hakikat cintanya ditolak selain perasaan cemburu.
Nur Ain yang mengandung lima bulan turut kehilangan anak dalam kandungannya kesan daripada tikaman tersebut.
Robia bagaimanapun menaruh keyakinan tinggi terhadap kepakaran para pegawai perubatan HSI untuk merawat mangsa sehingga sembuh, malah beberapa pakar telah ditugaskan untuk bersama-sama memberi rawatan terbaik kepada Nur Ain termasuk pakar kulit, bius, bedah dan psikologi.
Mengenai keadaan Nur Ain, Robia yang meluangkan masa selama 15 minit melawat mangsa petang ini berkata, keadaannya stabil tetapi masih kritikal.
Sementara itu, kakak mangsa, Suraidah, 27, berkata, keluarganya sentiasa berdoa supaya Nur Ain selamat, namun bersedia menerima apa juga kemungkinan apabila dimaklumkan peluang untuk Nur Ain pulih semula agak tipis.
"Kami sentiasa mengadakan bacaan Yassin dan sembahyang hajat bagi kesejahteraan adik dan kami berharap dia akan pulih.
"Saya yakin adik mampu melawan kesakitan kerana dia seorang yang kuat semangat seperti pada hari kedua dirawat, dia sedar dan mampu memberi tindak balas dengan menggerakkan tangan dan kakinya," katanya.
Nur Ain baru menjalani rawatan kulit pukul 2.30 petang dan masih belum sedarkan diri, malah ahli keluarga juga dilarang untuk menemuinya, katanya yang setiap hari menemani ibunya, Tuminah Samsuri, 54, melawat mangsa di hospital.
Katanya, Nur Ain mampu memberi respons dengan menganggukkan kepala tanda faham ketika ditanya.

No comments:

Post a Comment