Search This Blog

Tuesday, December 21, 2010

Bunuh: Lelaki, anak tiri tangkapan terbaru



JOHOR BAHRU 20 Dis. - Polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan anak tirinya berusia 14 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Mazni Abdul Rahman, 14, di Kampung Parit Ju Darat, Parit Sulong, Batu Pahat yang ditemui Jumaat lalu.
Lelaki berkenaan ditahan di Kampung Tebing, Tongkang Pecah pukul 8.45 malam semalam, selepas polis menahan anak tirinya di Kampung Parit Singgahan, Seri Medan pukul 6.45 petang hari yang sama.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, penahanan kedua-dua suspek terbaru itu menjadikan jumlah tangkapan setakat ini seramai lima orang.
"Tiga suspek remaja berusia antara 14 hingga 16 tahun yang ditahan Jumaat lalu kini ditahan sehingga 24 Disember, manakala dua suspek terbaru ditahan reman hingga 27 Disember ini.
"Kita percaya penahanan kelima-lima suspek ini dapat membantu menyelesaikan kes pembunuhan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan penemuan mayat Siti Mazni dalam kebun kelapa sawit, kira-kira 100 meter dari rumahnya di Parit Sulong, Batu Pahat pada Jumaat lalu selepas dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu.
Mayat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera, Tongkang Pecah ditemui dengan kesan tikaman di bahagian hadapan badannya dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya 'disorok' dalam ladang berkenaan.
Susulan penemuan mayat mangsa, polis menahan ketiga-tiga remaja berkenaan di sekitar Batu Pahat.
Mohd. Mokhtar berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Batu Pahat untuk melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment