Search This Blog

Friday, December 17, 2010

'Brek tak makan, saya hanya mampu kawal stereng'

PENAMPANG: "Saya menekan brek berkali-kali ketika menghampiri selekoh, namun ia gagal berfungsi menyebabkan saya hanya mampu mengawal stereng dan cuba menukar kepada gear rendah," kata pemandu bas, Rizwan Samda Mudin, 40, yang terselamat selepas bas dipandunya terjunam ke dalam gaung di Kilometer 32, Jalan Penampang-Tambunan.
Menurut Rizwan, dia tidak mampu berbuat apa-apa ketika brek bas tidak berfungsi menyebabkan kenderaan dipandunya merempuh penghadang jalan lalu terjunam ke dalam gaung.

“Saya menyedari bas terhumban dan bergolek beberapa kali sebelum terhenti akibat tersangkut pada pokok.

“Selepas itu, saya tidak mampu bergerak kerana tersepit dan mendengar jeritan penumpang meminta tolong dan menjerit kesakitan,” katanya yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Penduduk kampung berhampiran tempat kejadian, Johnny Kobijing, 15, berkata, dia mendengar bunyi dentuman kuat sebelum disusuli bunyi seperti batu besar bergolek daripada bukit ketika mengutip sayur di kebun yang terletak 200 meter dari belakang rumahnya.

“Selepas mendengar bunyi dentuman, saya terkejut apabila mendapati bas dalam keadaan remuk dengan bumbung tertanggal tersangkut pada pokok.

“Saya nampak beberapa penumpang bas keluar menyelamatkan diri, selain ada menjerit kesakitan,” katanya yang membantu mengeluarkan mangsa.


Pemandu lori dikenali sebagai Albert, 30-an, berkata, bas berkenaan dilihat memotong beberapa kenderaan lain di hadapannya termasuk lori dipandunya sebelum kejadian.

Bagaimanapun, ketika mengambil satu selekoh, kenderaan itu dilihat terus meluncur ke dalam gaung sedalam 50 meter.

No comments:

Post a Comment