Search This Blog

Friday, December 31, 2010

Bot tenggelam di Kuantan, lima nelayan hilang


Lima nelayan hilang selepas bot pukat tunda mereka tenggelam di 15 batu Nautika tenggara dari Tanjung Gelang di sini pada 9 pagi semalam. 

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kuantan Kapten Maritim Abdul Aziz Idrus berkata bot nelayan pukat tunda kelas C berkenaan dipercayai keluar untuk menangkap ikan dari Jeti Nelayan Batu 3 di Kuantan, pada petang Rabu lepas.

Beliau berkata bot nelayan berkenaan membawa empat nelayan warga Thailand yang dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan dikenali sebagai Chuk Luck.

"Bagaimanapun, kami menerima laporan mengenai kejadian itu pada 2 petang semalam sebelum kapal KM Lang bersama 24 pegawai tiba di lokasi kejadian 40 minit kemudian," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan Pasukan Gerakan Marin dan Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Perak.

Abdul Aziz berkata pasukan mencari dan menyelamat kemudian berjaya menemui bot nelayan terbabit dalam keadaan hanya bahagian hadapan bot yang masih timbul kira-kira 5 petang.

Namun, katanya awak-awak dan tekong bot berkenaan gagal ditemui.

Beliau berkata ketika kejadian, ketinggian ombak dilaporkan mencecah 3.5 meter manakala kelajuan angin 20 hingga 40 kilometer sejam.

"Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga 7 petang ini dan akan disambung semula pagi esok jika nelayan berkenaan masih belum dijumpai," katanya.

Bot sepanjang 18.12 meter dan lebar 5.7 meter itu kini ditarik oleh beberapa bot nelayan lain ke pantai.

- Bernama

No comments:

Post a Comment