Search This Blog

Tuesday, December 21, 2010

Biden : Assange 'pengganas teknologi tinggi'



LONDON 20 Dis. - Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengecam Julian Assange sebagai 'pengganas teknologi tinggi' berbahaya dan Washington sedang meneliti untuk mengemukakan tindakan undang-undang terhadap pengasas WikiLeaks itu.
Ulasan Biden itu dibuat pada hari ketiga Assange tinggal di sebuah rumah agam rakannya di timur England sementara dia berusaha menolak ekstradisi ke Sweden bagi menghadapi soal siasat berhubung dakwaan jenayah seksual.
Rakyat Australia itu menimbulkan kemarahan AS selepas membongkar kira-kira 250,000 dokumen sulit diplomatik negara tersebut dan terus mendedahkan dokumen-dokumen serupa setiap hari, sehingga adakalanya membangkitkan rasa malu besar kepada Washington.
Assange minggu lalu berkata, dia bimbang AS akan cuba mengekstradisinya atas dakwaan berkaitan pendedahan dokumen berkenaan dan Biden berkata, Jabatan Kehakiman AS sedang meneliti bagaimana untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.
"Kami sedang meneliti perkara itu. Saya tidak akan mengulas mengenai hal tersebut," katanya semasa rancangan NBCMeet the Press semalam tanpa menjelaskan tindakan yang bakal diambil terhadap pengasas WikiLeaks itu.
Ditanya sama ada beliau menganggap Assange sebagai pengganas teknologi tinggi atau pembocor maklumat seperti yang dilakukan pihak yang mendedahkan Pentagon Papers, siri dokumen sulit yang membongkar polisi ketenteraan AS di Vietnam, Biden berkata: "Saya menganggapnya lebih kepada pengganas berteknologi tinggi."
Assange, Jumaat lalu pada hari pertama dibebaskan dengan ikat jamin oleh sebuah mahkamah Britain berkata, peguamnya yakin satu siasatan oleh jemaah juri rahsia AS sedang dijalankan bagi meneliti peranannya dalam pendedahan dokumen diplomatik sulit negara tersebut. - AFP

No comments:

Post a Comment