Search This Blog

Tuesday, December 21, 2010

Bapa tak jadi mohon batal perintah tangkap anak



KUALA LUMPUR 20 Dis. - Seorang bapa menarik balik permohonannya untuk membatalkan perintah penangkapan dan penahanan anak lelakinya mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, selepas didakwa terlibat dalam kes samun dan curi motosikal.
M. Panir Selvam, 54, mengambil tindakan tersebut selepas Kementerian Dalam Negeri bersetuju mengubah perintah terdahulu dengan memindahkan anaknya yang kini berusia 18 tahun dari Pusat Tahanan Semenyih kepada menjalani perintah sekatan di rumahnya di Beranang, Kajang.
Perintah sekatan itu berkuat kuasa Mac lalu hingga Mac 2012.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam, Daniel Albert yang mewakili Panir Selvam selaku pemohon ketika kes berkenaan disebut di kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Zawawi Salleh di sini hari ini.
Pada Mei lalu, pemohon memperoleh kebenaran mahkamah untuk mencabar perintah penangkapan dan penahanan anak lelakinya itu.
Dalam permohonan yang difailkan pada 19 April lalu, Panir Selvam menamakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negeri Sembilan, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden-responden.
Beliau memohon perisytiharan bahawa perintah di bawah Seksyen 4A(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 bertarikh 11 Mac lalu oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Pemohon mendakwa ordinan tersebut tidak boleh digunakan ke atas kanak-kanak atau seseorang yang belum dewasa berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001.
Panir Selvam juga memohon untuk membatalkan perintah tersebut dan perintah agar pihak responden melepas serta membebaskan anaknya yang ditahan ketika berusia 17 tahun daripada sekatan dan syarat-syarat yang dilaksanakan atau akan terus dilaksanakan, selain tuntutan ganti rugi.
Dalam pernyataan tuntutannya, pemohon mendakwa anaknya ditahan pada 21 Disember tahun lalu dan telah dibawa ke beberapa buah balai polis atas alasan remaja itu terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Pada 12 Januari lalu, lelaki tersebut mendakwa dimaklumkan bahawa anaknya telah ditahan mengikut Ordinan Darurat selama 60 hari.

No comments:

Post a Comment