Search This Blog

Friday, December 17, 2010

Bapa mangsa OKU melecur ambil tindakan undang-undang


SHAH ALAM 16 Dis. - Keluarga Hassan Khamis, 23, orang kurang upaya (OKU) yang melecur seluruh badan dipercayai akibat alahan ubat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Taman Sinar Harapan (TSH), Tampoi, Johor Bahru atas dakwaan cuai menjaga kesihatan pemuda itu.
Bapanya, Khamis Haron, 51, berkata, dia dan keluarganya telah berbincang dengan peguam untuk meneliti bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap pihak pengurusan TSH.
Menurutnya, satu laporan polis juga akan dibuat berhubung kejadian yang menimpa Hassan.
''Saya mahu siasatan terperinci dilakukan agar nasib Hassan terbela dan perkara yang sama tidak menimpa orang lain," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan kejadian yang menimpa Hassan yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat sini.
Hassan dipindahkan ke HTAR selepas keluarganya kecewa dengan sikap TSH yang dianggap cuai dan lepas tangan.
Terdahulu, Hassan yang lumpuh sebelah kanan badan sejak berusia belasan tahun dihantar ke TSH pada Mei tahun lalu bagi membolehkannya mempelajari sesuatu bagi berdikari.
Tambah Khamis, walaupun berita mengenai keadaan anaknya disiarkan akhbar hari ini, sehingga petang ini tiada wakil TSH atau Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah yang melawat Hassan.
''Pagi ini saya datang awal ke HTAR pada pukul 10 pagi kerana bimbang sekiranya ada pihak yang bertanggungjawab datang melawat tetapi setelah menunggu sehingga pukul 1 petang, tiada siapa pun hadir.
''Saya begitu kecewa dengan pihak terbabit yang seolah-olah lepas tangan daripada masalah ini," ujarnya.
Mengenai perkembangan kesihatan anaknya itu, Khamis memberitahu, keadaan anak ketiga daripada lima beradik itu tidak banyak berubah dan dia masih tidak dapat menjamah makanan kerana kesan luka yang teruk pada mulutnya belum pulih.

No comments:

Post a Comment