Search This Blog

Tuesday, December 21, 2010

Australia turut dilanda salji



SYDNEY 20 Dis. - Sajli turun di Australia hari ini ketika keadaan cuaca yang biasanya panas pada bulan Disember digantikan dengan angin dingin yang bertiup dari Lautan Selatan di beberapa bahagian, sekali gus memberikan negara ini merasai nikmat menyambut Krismas dalam keadaan bersalji.
Salji turun di beberapa bahagian di negeri-negeri di pantai timur iaitu New South Wales dan Victoria, menyebabkan pusat peranginan meluncur ski yang ada di antara kawasan itu biasanya tidak bersalji pada masa ini saban tahun, diliputi dengan salji sehingga 10 sentimeter tebal.
"Ia putih, segalanya putih. Perkara pertama pada pagi ini semuanya tenang, sangat damai dan setiap benda hanya diliputi dengan salji tebal," kata pengurus besar Hotel Kosciuszko Chalet di Charlotte Pass, Michelle Lovius kepada AFP.
Katanya, jumlah salji seperti itu adalah perkara yang luar biasa pada awal Disember yang kebiasaannya menjadi kemuncak kepada musim bunga liar di kawasan pergunungan New South Wales.
"Kami berharap kesejukan itu bertahan selama lima hari dan kami dapat menyambut Krismas dalam keadaan bersalji,'' ujarnya.
Terletak jauh di selatan negeri Victoria, Gunung Hotham diliputi salji setebal 10 sentimeter semalam dan Gunung Buller pula diliputi salji sehingga lima sentimeter tebal, kata jurucakap Laporan Salji Victoria, Maureen Gearon.
"Ia merupakan selimut putih yang kelihatan cantik pada ketika ini. Orang ramai keluar dari rumah masing-masing dengan memakai topi Santa Claus untuk mengambil gambar dalam saji," kata Gearon kepada agensi berita Australia, AAP.
Angin dingin itu bertiup di seluruh Sydney, di mana suhu jatuh kepada 13 darjah Celsius awal pagi ini dan menjunam ke 9.8 darjah Celsius di bahagian barat ibu negara ini ketika angin berkelajuan sehingga 100 kilometer sejam diramal bertiup di kebanyakan kawasan tepi pantai negeri-negeri itu.
Namun berlainan pula ceritanya di pantai barat Australia apabila banjir paling buruk dalam tempoh 50 tahun menyebabkan bandar Carnarvon yang terletak 900 kilometer dari utara Perth terputus daripada hubungan. - AFP

No comments:

Post a Comment